
KOTA KINABALU: Pihak kerajaan sentiasa mengadakan pelbagai program termasuk kursus-kursus bagi memperkasakan ibu tunggal yang berumur 40 tahun dan ke atas, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib.
“Kementerian ini melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) pada tahun ini telah melaksanakan 26 kursus yang merangkumi beberapa kemahiran seperti Kulinari, Fabrik, Kosmetologi, Kraftangan dan Bioteknologi di 20 buah daerah.
“Kursus-kursus tersebut dilaksanakan khusus untuk golongan ibu tunggal berdasarkan takrifan JHEWA dan juga kumpulan wanita berkahwin yang berpendapatan rendah dalam kategori B40 yang berumur antara 18 hingga 55 tahun.
“Kursus-kursus yang dianjurkan membolehkan peserta memulakan perniagaan dan menjana pendapatan serta sekaligus berupaya memperkasakan ekonomi para peserta tersebut,” jelas beliau.
James berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Yang Berhormat ADUN Tanjong Papati, Datuk Frankie Poon Ming Fung semasa hari kedua Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas pada hari Selasa.
Dalam soalannya, Poon bertanya kepada Menteri KPMKR, berapakah bilangan kursus yang telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk memperkasakan ibu tunggal yang berumur 40 tahun dan ke atas; dan jika ada, berapakah jumlah statistik peserta dalam kursus yang telah dijalankan.
James yang juga ADUN Sugut menambah, jumlah peserta bagi kursus kemahiran yang telah dilaksanakan dalam tahun 2023 ialah seramai 641 orang golongan ibu tunggal dan kumpulan wanita berkahwin yang berpendapatan rendah dalam kategori B40.
“Seramai 162 orang ibu tunggal yang berumur 40 tahun ke atas telah pun menyertai kursus-kursus yang dianjurkan,” jelas beliau.