ADVERTISEMENTspot_img

Pelancaran Program Jejak Kanser 2026 Perkukuh Usaha Pengesanan Awal di Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS) akan menganjurkan Majlis Pelancaran Program Jejak Kanser 2026 pada 28 Mac ini di Dewan Masyarakat Pekan Ranau, sebagai langkah proaktif memperkukuh kesedaran dan pengesanan awal penyakit kanser dalam kalangan masyarakat.

Majlis yang dijadual bermula seawal jam 8.00 pagi itu akan disempurnakan oleh Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.

Menurut jurucakap program, Lawrence Imui, penganjuran program ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta rakan strategik, dalam usaha memastikan pendekatan menyeluruh terhadap pencegahan dan pengurusan penyakit kanser.

Beliau berkata, Program Jejak Kanser 2026 merupakan inisiatif bersepadu yang memberi penekanan kepada pendidikan kesihatan, usaha pencegahan serta pengesanan awal penyakit kanser, khususnya bagi masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Program ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mempertingkatkan kesedaran kesihatan awam serta mengurangkan kadar pengesanan lewat penyakit tidak berjangkit,” katanya.

Lawrence memberitahu, melalui program tersebut, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan termasuk saringan kesihatan percuma, ceramah kesedaran, saringan kanser serviks, ujian smokerlyzer (pemeriksaan kandungan karbon monoksida dalam pernafasan), pameran kesihatan serta khidmat nasihat oleh petugas perubatan bertauliah.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk memanfaatkan peluang ini bagi menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan maklumat berkaitan pencegahan kanser.

Program ini diharap dapat menjadi platform penting dalam memperkasa komuniti dengan pengetahuan kesihatan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN