Oleh : MARRYAN RAZAN
KOTA KINABALU: Seramai 42 pelajar Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar Seksyen 4 Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan ke Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud.

Lawatan itu diketuai oleh Nur Shahirah Sherahman dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perniagaan UMS dan Pensyarah Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar Seksyen 4 Mohd Nazier Mat.
Nur Shahirah berkata, program ‘Jalinan Mesra’ itu yang dianjurkan oleh pelajar bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran kepada para pelajar mengenai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

“Selain itu ia juga bertujuan untuk membentuk kemahiran insaniah pelajar di samping berkongsi ilmu dan memberikan sokongan moral kepada kanak-kanak kurang bernasib baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Sempena lawatan itu, pelbagai acara menarik disusun termasuk mewarna batik, English Session dan sukaneka yang turut disertai penghuni rumah anak yatim berkenaan.

Rombongan pelajar UMS juga berpeluang membina sebuah arca ‘I Love UMS” yang dihasilkan daripada botol mineral yang dibawa sendiri oleh para pelajar.
“Kami berharap melalui lawatan ini, bukan sahaja dapat menimba pengalaman kepada semua peserta tetapi dapat membuka minda kepada masyarkat agar sama-sama memberi perhatian dan sokongan moral kepada masyarakat kurang bernasib baik di negeri ini,” katanya.-TAMAT-
