NURUL (kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Pengetua SMK Simpangan, Puan Shariffah h mewakili Datuk James.
miss nurul (ketua beliawanis n48 sugut) menyerahkan rm25k sumbangan Majlis Anugerah Kualiti kepada pengetua Smk Simpangan Puan shariffah hudah binti sharif Ali
PAITAN: Para pelajar di sini dinasihatkan agar sentiasa mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan di peringkat sekolah mahupun di alam pekerjaan kelak.
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Merangkap ADUN N48 Sugut, Datuk James Ratib bekata, faktor kejayaan yang paling utama terletak pada diri pelajar itu sendiri.
“Kejayaan seorang pelajar bukan hanya terletak pada usaha dan kesungguhan guru semata-mata. Selain guru, ibu bapa juga perlu mencorakkan masa depan anak-anak mereka.
“Bagi saya faktor yang paling utama kejayaan terletak pada diri pelajar itu sendiri, agar sentiasa mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai kejayaan,” kata beliau.
Tambahnya, semua pihak perlu menjadikan hubungan antara warga sekolah dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.
Beliau mengatakan demikian melalui teks ucapan perasmiannya yang dibacakan oleh wakilnya, Ketua Pergerakan Beliawanis Bahagian N48 Sugut, Nurul Syafinah binti James sempena Hari Anugerah Kualiti (MAKUL) SMK Simpangan, Beluran 2023.
Beliau berterima kasih kepada pihak SMK Simpangan, Beluran kerana mengundangnya ke majlis dan kepada ibu bapa yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan hadir ke majlis tersebut.
“Terima kasih dan tahniah kepada guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti ini.
“Semoga majlis ini terus menjadi asas anjakan paradigma menjana modal insan yang terbilang,” katanya.
James mengambil kesempatan itu dengan melontarkan cabaran kepada murid-murid agar dapat membuktikan bahawa mereka mampu meneruskan kejayaan yang lebih gemilang.
“Berusahalah dengan lebih gigih berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru untuk memperoleh kejayaan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah.
“Saya percaya majlis pada hari ini selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan murid-murid agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.
“Diharapkan semoga program seperti ini berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi menunjukan peningkatan atau kemajuan,” katanya.
James turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang menerima hadiah atas pencapaian mereka dan diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja.
“Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita.
“Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan.
“Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan,” katanya.
Menurut James lagi, para pelajar yang mendapat anugerah pada kali ini merupakan mereka yang rajin berusaha dan konsisten dalam usaha.
Katanya, mereka yang cemerlang ini biasanya rajin pada tiap-tiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin mengikut musim.
“Saya percaya jika para pelajar dapat mencontohi mereka yang menerima anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut pada tahun akan datang.
“Dalam hal ini, semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah sederap berusaha untuk merealisasikannya.
“Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu jaringan kecemerlangan akademik yang tinggi mampu digapai,” jelas beliau.