Pelajar LIS menang Cabaran Tik Tok Bulan Kebangsaan 2021

Pelajar LIS menang Cabaran Tik Tok Bulan Kebangsaan 2021

26/09/2021 Off By JAINUDIN DJIMIN

GAMBAR: KEBANGGAAN… Jewel dan adiknya Nathania  yang berjaya memanangi Pertandingan Cabaran Tik Tok Bulan Kebangsaan 2021.

LABUAN: Dua orang pelajar Sekolah Antarabangsa Labuan(LIS)  yang juga pasangan adik beradik, iaitu Jewel Chieng Shao Li dan Nathania Chieng Shao Yi melakar sejarah apabila memenangi Cabaran Tik Tok ‘Malaysia: Ekspresi Kemerdekaan’ 2021 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2021.

Jewel, 16, dan Nathania, 14, menerima hadiah wang tunai  RM1,500 dan sijil penyertaan  bagi video TikTok mereka yang berjudul ‘Malaysia Is Where My Heart Is’ di bawah kategori sekolah antarabangsa dan kemenangan mereka diumumkan secara maya pada 16 September.

Video TikTok  berdurasi 60 saat dengan tema “Malaysia Di Mataku” memaparkan semangat patriotisme, menghargai kemerdekaan dan kemajuan yang dicapai oleh negara tercinta dengan berlatar belakangkan kawasan menarik di sekitar Labuan termasuk pemandangan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).

Pengetua LIS, Fadlin Aimuni Binting  turut mengucapkan tahniah  dan syabas kepada kedua dua pelajar berkenaan yang telah mengharumkan nama Labuan dan juga sekolah LIS

 “Berbekalkan panduan daripada guru seni persembahan LIS  Susan  Francis  dan  guru Sejarah  Sani La Bise serta ibu  mereka Jessica Lee, Jewel dan Nathania berjaya  memenangi pertandingan tersebut.

“Kandungan video mereka diselang-seli dengan imej rakyat Malaysia, festival kebangsaan dan makanan tradisi. Tidak diragukan lagi, video itu yang memasukkan pemandangan indah di Labuan, turut mempromosi Labuan ke seluruh Malaysia,” katanya.

Jewel pula berkata, Hari Kebangsaan merupakan detik terbaik untuk rakyat Malaysia menunjukkan penghargaan kepada negara dan saling bekerjasama demi kebaikan negara.

“Marilah kita menghargai semua yang kita miliki dan meraikan kemerdekaan kita… Hari Kebangsaan ialah hari kita memberikan penghormatan kepada negara kita yang indah ini,” katanya.