Gambar: Abidin menyerahkan beg sekolah secara simbolik kepada salah seorang pelajar sekolah rendah
RANAU: Inisiatif Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bagi mengurangkan beban ibu bapa bagi menampung perbelanjaan anak-anak mereka kembali ke sekolah tahun depan mendapat pujian.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir memuji sumbangan tanggungjawab sosial koperat (CSR) syarikat itu yang menyumbangkan 400 buah beg sekolah kepada para pelajar sekolah rendah di sini.
“Kita berharap dengan sumbangan ini dapat menaikkan semangat anak-anak untuk memulakan persekolahan tahun ini. Kami berharap anak-anak kita hari ini akan menjadi individu berkualiti yang akan menjadi pemimpin masa depan kita,” katanya.
Abidin juga berharap kumpulan korporat, NGO dan individu lain dapat mencontohi apa yang ditunjukkan oleh PEKEMA melalui CSR mereka.

Abidin (tengah) dan yang lain bergambar beramai-ramai bersama beberapa penerima beg sekolah dalam majlis tersebut
Beliau yang juga Adun Paginatan berkata demikian ketika mengagihkan beg sekolah kepada pelajar sekolah dan wakil sekolah dalam satu majlis yang diadakan di Ranau Hakka Food Coirt pada Khamis.
Turut hadir Setiausaha Agung PEKEMA, Muhd Yatim Hj Kadas, wakil Pegawai Pendidikan Ranau, Foo Lee Yen, Presiden Dewan Perniagaan Cina Ranau, Datuk Jimmy Tham Yuk Leong, UPPM Paginatan, Hisyamudin Harun dan lain-lain.
Sementara itu, Abidin berkata penglibatan ibu bapa dalam menentukan masa depan anak-anak mereka amat penting terutama ketika dunia masih berdepan krisis pandemik.
Beliau menegaskan walaupun peranan guru sekolah penting dalam membentuk sahsiah pelajar semasa mereka di sekolah, namun peranan ibu bapa lebih besar berbanding sebelum ini, kerana kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa belajar di rumah.
“Masa pelajar di sekolah sangat terhad untuk beberapa tahun kebelakangan ini manakala sebahagian besar masa mereka dihabiskan di rumah, dan orang yang bertanggungjawab ke atas mereka pada masa itu adalah ibu bapa mereka, selain daripada ahli keluarga yang lain.
“Sebab itu kita ingin memberi penghargaan kepada peranan ibu bapa dalam menjaga pelajaran anak-anak sejak dua tahun lepas. Kita harap dengan sesi persekolahan baharu yang semakin hampir, anak-anak kita dapat belajar semula di bilik darjah seperti sebelum ini,” jelas beliau.



