Gambar atas: Kakitangan MPOB Ranau (barisan depan) bersama peserta kursus
RANAU : Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Cawangan Ranau menggesa pekebun sawit di daerah ini khususnya di kawasan SPOC S6 Ranau agar mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi membantu mereka mendapatkan hasil berkualiti tinggi.
Ketua Pejabat MPOB Cawangan Ranau, Gebriel Karang berkata, kita komited dalam mendapatkan 100 peratus pengiktirafan MSPO di daerah ini dengan fokus utama kepada pekebun-pekebun kecil dalam usaha membantu mereka mendapatkan hasil buah tandan segar (BTS) bermutu tinggi yang secara langsung dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER). Sehingga Disember 2021 data yang kita ada berkaitan pensijilan MSPO di kalangan pekebun kecil persendirian dalam daerah ini mencecah 1257 dengan keluasan 7264.47 hektar.
“Negara pengimport memperakukan sijil MSPO dan menyatakan kesediaan membeli sawit negara dengan harga yang lebih tinggi, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan hasil penghasilan buah tandan segar bermutu dan tinggi nilainya,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Bercakap semasa menyampaikan ceramah kepada seramai 48 orang peserta kursus di Dewan Kampung Nalapak hari ini, katanya, kita lebih tertumpu kepada pekebun persendirian sawit kerana pemilik ladang berskala besar dan pihak industri mempunyai pengetahuan tentang MSPO dan mereka telah memohon serta telah diberi pengiktirafan sijil berbanding pekebun kecil persendirian.
Terdahulu, Jeffry Japri yang membentangkan Kertas Kerja 1 (Pensijilan MPOB GAP) telah memberi pengetahuan tentang Amalan Pertanian Baik (GAP) Sawit, mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengurusan serta meningkatkan produktiviti dan secara langsung meningkatkan pendapatan pekebun.

Gebriel menyampaikan rak penyimpanan racun kepada Soliah Bonsinau yang telah memiliki sijil MSPO
Manakala Kertas Kerja 2 (Prinsip Am MSPO) yang dibentangkan oleh Ruhani Arifin merujuk kepada 7 prinsip iaitu Komitmen dan Tanggungjawab Pihak Pengurusan (Prinsip 1), Ketelusan (Prinsip 2), Pematuhan Terhadap Keperluan Undang-Undang (Prinsip 3), Tanggungjawab Sosial, Kesihatan, Keselamatan dan Keadaaan Pekerjaan (Prinsip 4), Alam Sekitar, Sumber Asli, Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem (Prinsip 5), Amalan Baik (Prinsip 6) dan Pembangunan Penanaman Baru sebagai Prinsip ke-7.
“Kepada para peserta kursus yang masih keliru atau belum dapat memahami pensijilan ini, pihak Pejabat MPOB Cawangan Ranau sentiasa bersedia menunggu kedatangan mereka untuk diberikan khidmat dan nasihat. Mohon juga yang sudah faham supaya dapat melengkapkan borang MSPO dan menghantar ke pejabat,” kata Gebriel lagi.
Beliau turut mengucapkan terimakasih atas bantuan anggota RELA dan semua peserta kursus kerana sentiasa mematuhi SOP sepanjang kursus sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.