24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pegawai dan anggota RELA perlu mengekalkan disiplin tinggi: Jonathan Yasin

RANAU: Pegawai dan Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu mengekalkan disiplin yang tinggi untuk menjaga nama baik organisasi itu di mata masyarakat.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Malaysia, Datuk Jonathan Yasin berkata, disiplin adalah kunci kearah kecemerlangan sesebuah badan beruniform termasuk Rela yang sentiasa dinilai masyarakat.

“Tanpa disiplin, sesebuah badan beruniform itu akan pincang dan rakyat tidak yakin dengan perkhidmatan yang disampaikan. Justeru, sebagai Pegawai dan Anggota Rela, anda perlu berbangga kerana sentiasa di dedahkan dengan disiplin yang tinggi”. Tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ketua Perhubungan Rela Kawasan (KPRK) dan Ketua Platun Rela (KPR) Daerah Ranau pada Ahad di Dewan Masyarakat Kg.Sinarut dekat sini.

Jelasnya lagi, disiplin yang dipamerkan oleh Pegawai dan Anggota Rela membolehkan komuniti di sesebuah perkampungan membuat penilaian ketika pemilihan jawatan-jawatan pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung atau Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Katanya, penduduk kampung akan menaruh kepercayaan penuh kepada Pegawai dan Anggota Rela untuk menjawat jawatan tersebut berdasarkan penilaian disiplin mereka.

Justeru, beliau berharap kesemua anggota badan beruniform itu sentiasa dapat menjalankan tugas dengan jujur, cekap dan amanah untuk mempastikan keselamatan seluruh masyarakat dapat dipertahankan.

“Masyarakat mengharapkan perkhidmatan anda untuk sentiasa berasa selamat dan ada tempat mereka bersandar jika berlaku sesuatu insiden membabitkan keselamatan. Bertugas lah dengan jujur, cekap dan amanah”. Jelasnya.

Selain itu, Jonathan turut menasihatkan agar kesemua Pegawai dan Anggota Rela tidak mengamalkan budaya rasuah sebaliknya sentiasa berusaha untuk meningkatkan ekonomi diri dan keluarga.

“Amalan rasuah bukan sahaja di keji masyarakat malah merosakkan negara dan keluarga. Mana-mana sumber yang kita perolehi daripada sumber tidak halal tidak baik untuk diri kita sendiri dan keluarga.

Menyentuh mengenai keperluan logistik jabatan itu, beliau berkata pihaknya akan mempastikan peruntukan yang disalurkan akan terus ditambah untuk melancarkan program-program serta penugasan yang telah dirancang.

Beliau yakin, Rela akan terus maju kehadapan dan menjadi sebuah organisasi unggul dibawah pentadbiran Ketua Pengarah Rela Malaysia, Datuk Yahya bin Sulaiman.

Dalam majlis itu, seramai tiga orang Pegawai menerima watikan perlantikan KPRK dan lima lagi menerima jawatan KPR untuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.

Majlis turut dihadiri Datuk Yahya bin Sulaiman, Ketua Pengarah Rela Malaysia, Hendra Herman, Pemangku Pengarah Rela Negeri Sabah dan Kong Soon Choi, Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Pegawai-Pegawai dan Anggota Rela sekitar daerah Ranau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN