OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Seorang lelaki tempatan disyaki pecah masuk rumah dan melarikan beg berisi duit berjaya ditangkap dalam kejadian awal pagi di Kampung Tarawas di sini pada Jumaat lepas.
Suspek berumur lingkungan 30an itu telah ditangkap penduduk kampung dalam keadaan mabuk sebelum diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton (gambar) berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 3 pagi, suspek telah memecah masuk sebuah rumah di kampung itu sebelum disedari salah seorang penghuni rumah.
“Semasa kejadian,semua penghuni rumah sedang tidur. Salah seorang daripada mereka iaitu anak peremuan tuan rumah telah terjaga lalu menjerit apabila ternampak seorang lelaki tidak dikenali masuk ke dalam rumah mereka dan membawa lari sebuah beg.
“Jeritan itu menyebabkan semua penghuni dalam rumah telah terjaga dari tidur dan mendapati sebuah beg berisi duit telah dilarikan oleh suspek. Tuan rumah seterusnya meminta bantuan penduduk kampung mengesan dan menangkap suspek,” katanya kepada Borneo Daily Bulletin hari ini.
Menurut DSP Sammy, penduduk kampung telah berjaya menangkap suspek lebih kurang jam 4 pagi hari yang sama di Jalan Tarawas ketika sedang menunggang motosikal dan dalam pengaruh alkohol.
Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan penduduk kampung ke atas suspek telah menjumpai wang tunai berjumlah RM934 di dalam poket baju yang di pakai suspek. Wang tersebut dipercayai telah dicuri dalam kejadian itu. Suspek kemudiannya telah di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Dalam masa sama, suspek juga didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kes disiasat di bawah Sek. 457 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 2) 2020
“Sekiranya di sabitkan kesalahan boleh di penjara sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kedua atau kemudiannya hendaklah juga dikenakan denda atau sebat sepertimana peruntukan Sek. 457 Kanun Keseksaan.
“Bagi kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 2) 2020 sekiranya di sabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua – duanya,” jelas beliau. –TAMAT–