DCP Datuk Mazli Mazlan ( tengah) ketika meninjau sesi PDPR di Kg.Kigiwit, Ranau
RANAU: Pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah akan terus menerapkan slogan ‘’Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’’ menerusi program-program mendekati masyarakat walaupun dalam masa sama organisasi ini agak sibuk dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mempastikan rantaian penularan pendemik Covid-19 dapat diputuskan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah, DCP Datuk Mazli bin Mazlan berkata, pihaknya bersama barisan Pegawai dan Anggota akan sentiasa turun padang mendekati masyarakat termasuk para penduduk diluar bandar menerusi pendekatan Program Kepolisan Komuniti bagi mempastikan segala aspek pematuhan perundangan dan pencegahan jenayah dapat dipantau sepenuhnya.

‘’Konsep Community Policing adalah salah satu inisiatif PDRM untuk merapatkan masyarakat dengan pihak kami. Disamping kami menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang dan pencegahan jenayah, kami juga akan melihat aspek lain seperti kebajikan dan keperluan para penduduk khasnya diluar bandar seperti di daerah Ranau yang mana terdapat para pelajar yang mengulangkaji pelajaran dikawasan hutan dan berbukti untuk mendapatkan capaian internet”, jelasnya ketika ditemui di Kg. Kigiwit dalam tinjauan tugas-tugas pematuhan PKP bersama para pegawainya pada Selasa.
Dalam tinjauan itu, Mazli dan barisan Pegawainya turut menyantuni sekumpulan pelajar sekolah rendah dan menengah di Kg. Kigiwit yang duduk di kawasan berbukit untuk mengikuti kelas secara atas talian. Sapaan beliau turut meninggalkan kenangan manis buat sekumpulan pelajar tersebut apabila pihak PDRM turut menyumbangkan beberapa keperluan pembelajaran dalam talian seperti pembinaan sebuah pondok untuk memudahkan sesi pembelajaran dalam talian, telefon mudah alih dan bakul makanan.

Salah seorang pelajar menerima sumbangan telefon pintar dan bakul makanan disampaikan DCP Datuk Mazli Mazlan b
Mazli turut menasihatkan agar para pelajar tersebut agar terus tekun belajar dan menghindarkan diri dari sebarang pembabitan jenayah, penagihan dan pengedaran dadah serta masalah sosial lain. Katanya, hanya dengan ilmu pembelajaran tinggi seseorang individu itu dapat merubah nasib diri dan keluarga seterusnya menjadi aset berguna kepada bangsa, agama dan negara.
‘’Saya berharap semua pelajar dikawasan ini terus tekun belajar. Hindarkan diri anda daripada sebarang pembabitan jenayah, dadah dan masalah sosial lain yang boleh merosakkan diri. Jika suatu masa nanti adik-adik semua dapat berjaya menjadi Peguam, Doktor, Juruterbang atau Pegawai Polis, adik-adiklah harapan keluarga dan negara untuk menjaga seluruh masyarakat, jadi jangan sia-siakan masa untuk belajar walaupun suasana tidak begitu selesa. Itu bukan alasan’’, tegasnya.
Disamping itu, beliau turut mengingatkan agar para pemimpin masyarakat terus mempastikan agar aspek keselamatan setempat sentiasa dipantau bagi memudahkan sesi pembelajaran para pelajar dikampung. Dalam masa sama katanya, pihak PDRM bersiap sedia menerima sebarang aduan mengenai ancaman keselamatan daripada pemimpin masyarakat khasnya Ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Sebahagian pelajar yang menerima sumbangan telefon pintar dan bakul makanan, merakam gambar bersama DCP DCP Datuk Mazli Mazlan dan pegawai polis yang lain pada program itu.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Manjus Munsing ketika ditemui turut melahirkan rasa terharu dengan lawatan pemimpin tertinggi PDRM itu. Beliau berkata, Program Kepolisan Komuniti seperti itu memberikan satu gambaran kepada masyarakat bahawa PDRM bukan sahaja sebagai penguatkuasa untuk menjaga keamanan rakyat, bahkan mampu membantu komuniti khasnya pelajar diluar bandar mengecapi impian untuk mendapatkan kemudahan internet serta jaringan jalanraya yang baik kerana kesan daripada program yang dijalankan.
‘’Saya yakin dengan adanya program yang dijalankan oleh PDRM bukan sahaja meyakinkan masyarakat kampung tentang aspek keselamatan, bahkan ia juga mampu menjadikan suatu realiti kepada para pelajar dan penduduk kampung untuk kerajaan melihat betapa pentingnya membina menara telekomunikasi dan menaiktaraf jaringan jalanraya dikawasan ini untuk memudahkan pelajar sekolah menengah berulang alik ke sekolah di SMK Matupang Jaya dan penduduk kampung mencari rezeki menerusi pertanian’’, kata Manjus.

Turut bersama dalam program itu, Pegawai Pendidikan Ranau, Majus Munsing (kiri).
Yupan Padas, Ketua Kampung Kg. Kigiwit turut melahirkan perasaan gembira dengan lawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah ke kampungnya. Beliau menjelaskan, kehadiran pemimpin tertinggi PDRM bersama pegawai-pegawainya bakal menyuntik semangat para pelajar dikampung tersebut untuk terus tekun belajar dan penduduk kampung juga terus yakin dengan tahap keselamatan semasa dikawasan mereka.
‘’Saya mewakili seluruh penduduk kampung amat berterima kasih dengan kehadiran Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah ke kampung kami. Saya yakin selepas ini para pelajar disini akan mendapat suntikan semangat untuk tekun belajar selain para penduduk juga berasa selamat dengan kehadiran pegawai-pegawai tertinggi PDRM’’, jelasnya.
Dalam majlis itu, DCP Datuk Mazli bin Mazlan turut bersama-sama pegawai dan anggota PDRM dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau menyiapkan pondok dikawasan yang mempunyai akses internet bagi kemudahan para pelajar berteduh dan mengikuti pembelajaran dalam talian. Tugas itu turut mendapat bantuan daripada beberapa orang penduduk kampung yang hadir.

DCP Datuk Mazli Mazlan bersama pegawai dan anggot serta penduduk kampung, bergotong-royong membina pondok untuk kemudahan pelajar sepanjang PdPR
Mazli turut menyampaikan sumbangan berupa 10 buah telefon bimbit kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah dari Kg. Kigiwit sebelum beredar ke Kg. Waluhu, Bongkud untuk menyampaikan 10 buah lagi sumbangan sama kepada pelajar dikampung tersebut. Kesemua penerima merupakan pelajar-pelajar dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan berkenaan bagi tujuan mengikuti kelas dalam talian sepanjang PKP dikuatkuasakan.
Pada 29 Januari lepas, sekumpulan Pegawai Kanan dan Anggota PDRM daripada IPD Ranau yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah, DSP Sammy Newton turut membantu para pelajar di Kg. Paus membina sebuah khemah untuk tujuan yang sama. Aktiviti tersebut menjadi tular di media-media massa dan media sosial sehingga mendapat pujian daripada pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menerusi paparan facebook beliau.