32 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 23, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PDRM RANAU PRIHATIN NASIB PELAJAR LUAR BANDAR

PRIHATIN…. Pegawai dan Anggota PDRM Ranau mendirikan Khemah dan meja untuk kemudahan pelajar

Pegawai dan anggota PDRM Ranau bergotong-Royong mendirikan khemah untuk kemudahan para pelajar mengikuti kelas dalam talian.

TERSENTUH dengan komitmen para pelajar sekolah di Kampung Paus yang berusaha mendapatkan talian internet untuk menjalani pembelajaran secara dalam talian, sekumpulan Pegawai Kanan dan Anggota Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau yang sedang menjalankan rondaan disekitar kampung-kampung pedalaman bagi pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pantas turun menghulurkan beberapa bentuk bantuan bagi memberikan keselesaan kepada para pelajar tersebut. 

Kumpulan Pegawai Kanan dan PDRM berkenaan diketuai oleh Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, telah berhenti ditepi jalan Kg. Paus untuk mendekati beberapa pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Matupang yang pada ketika itu sedang leka mentelaah pelajaran menerusi aplikasi internet. 

Sekumpulan pelajar di Kg.Paus sedang mengikuti kelas dalam talian dikawasan ladang kelapa sawit

Melihat lokasi tempat perkumpulan para pelajar mendapatkan capaian internet kurang selesa dan tidak selamat ekoran terletak dalam kawasan ladang kelapa sawit dan hutan yang cenderung untuk disengat serangga berbisa atau serangan binatang buas, DSP Sammy Newton bersama barisan Pegawai Kanan dan anggotanya telah membina kemudahan meja, kerusi dan khemah yang kebanyakan peralatan diperbuat daripada kayu bambu yang tumbuh liar disekitar kawasan berhampiran. 

Kesiapsiagaan para Pegawai Kanan dan Anggota PDRM Ranau yang sentiasa membawa perlatan sesuai seperti mesin pemotong, pengorek tanah, tukul dan tali didalam kenderaan pasukan ketika membuat tugas rutin rondaan di kampung-kampung sekitar pedalaman Daerah Ranau melancarkan tugas mereka menyediakan beberapa kemudahan untuk keselesaan para pelajar mengikuti pembelajaraan dalam talian di lokasi itu. 

DSP Sammy (tengah) bersama barisan pegawai dan anggotanya membuat rondaan penguatkuasaan PKP di Kg.Paus

‘’Saya bersama barisan Pegawai Kanan dan anggota PDRM Ranau sebenarnya dalam penugasan rutin membuat rondaan disekitar perkampungan yang agak terpencil disekitar Daerah Ranau. Kebetulan kami sampai di Kg. Paus ini dan terlihat sekumpulan pelajar sekolah sedang mengikuti sesi pembelajaran dalam talian disuatu kawasan berbukit yang mana saya difahamkan kawasan itu sahaja yang mempunyai akses talian internet.  Kami amat tersentuh dengan keadaan lokasi tempat pelajar tersebut mengikuti kelas online.  Demi keselamatan dan keselesaan mereka, kami berusaha untuk menebang pokok bulu yang tumbuh berdekatan kawasan itu untuk membina meja, bangku dan memasang khemah untuk keselesaan mereka’’, jelas Sammy. 

Sammy turut menjelaskan, pihaknya bukan sahaja membina peralatan selesa untuk memudahkan para pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian, malah beberapa peralatan mencegah Covid-19 seperti penutup muka dan cecair pembasuh tangan yang kebetulan dibawa bersama didalam kenderaan pasukannya turut dihulurkan kepada para pelajar tersebut agar mereka terhindar daripada jangkitan wabak Covid-19. 

Pegawai dan Anggota PDRM Ranau membina Khemah untuk kemudahan pelajar

‘’Kita faham, kanak-kanak sekolah ini agak sukar untuk mendapatkan peralatan seperti penutup muka dan cecair pembasuh tangan kerana mereka tinggal jauh daripada Pekan Ranau.  Justeru itulah kami secara ikhlas memberikan mereka peralatan penjagaan kesihatan ini dan Pegawai saya turut menerangkan mereka tatacara pematuhan SOP dalam tempoh penguatkuasaan PKP, nampaknya mereka gembira dan berjanji akan mematuhi SOP PKP sepenuhnya’’, katanya. 

Dalam pada itu, Pemaju Mukim Kg. Paus, Yasiri Bijin yang pada mulanya berasa hairan dengan kehadiran sekumpulan Pegawai Kanan dan Anggota PDRM dilokasi tersebut dan menyangka sesuatu perkara tidak diingini berlaku, menarik nafas lega apabila mengetahui kehadiran Pegawai dan Anggota PDRM berkenaan sebenarnya untuk memberikan keselesaan kepada para pelajar mengikuti kelas dalam talian. 

‘’Saya kebetulan melalui kawasan itu dan saya terkejut pada mulanya melihat beberapa Pegawai dan Anggota Polis disana.  Saya beranggapan ada sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku kepada para pelajar tersebut, apabila saya turun dan melihat apa sebenarnya yang berlaku, rupanya para Pegawai dan Anggota Polis tersebut sedang membina peralatan kemudahan para pelajar mengulangkaji pelajaran mereka, alangkah terharunya saya dengan sifat prihatin mereka’’, jelasnya yang turut membantu pihak PDRM menyiapkan peralatan berkenaan’’.

Para pelajar terlibat turut gembira dengan usaha murni pihak PDRM Ranau.  Mereka melahirkan rasa gembira dan terharu kerana pihak polis sanggup turun padang mendekati mereka dan membina ruang yang selesa untuk mereka mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang PKP ini. 

SYUKUR.. akhirnya para pelajar mendapat sedikit keselesaan selepas khemah dan meja siap didirikan.. Para pelajar turut mendapat sumbangan bakul makanan

‘’Saya berterima kasih kepada PDRM Ranau kerana sudi datang secara mengejut ke tempat kami dan menyediakan tempat yang selesa untuk kami belajar secara online disini’’, jelas Eveilyana Daniella Jarimin, pelajar Tingkatan 2 SMK Matupang.  

Manakala bagi Haerril Maujil, pelajar Tingakatan 3 dan Sonnitta Jukson, pelajar Tingkatan 5 sekolah yang sama, kedua-dua mereka turut berterima kasih kepada pihak PDRM Ranau diatas komitmen yang ditunjukkan bagi menyediakan keselesaan ruang tempat mereka mendapatkan talian internet bagi tujuan mengulangkaji pelajaran.  Kedua-dua pelajar ini turut menyatakan cita-cita ingin menjadi seorang Pegawai Kanan  PDRM apabila berjaya dalam pelajaran kelak.  

Kampung Paus terletak lebih kurang 70 kilometer daripada Pekan Ranau.  Kebanyakan kawasan perkampungan disekitar kawasan ini tidak mempunyai akses internet dan talian telefon yang menyukarkan para pelajar mengikuti kelas dalam talian.  Para pelajar terpaksa mencari kawasan berbukit untuk mendapatkan talian telefon dan internet bagi mengikuti kelas dalam talian sepanjang PKP dikuatkuasakan.  Sebelum ini, gambar-gambar pelajar pedalaman mendapatkan talian internet untuk mengikuti kelas dalam talian di Kg. Waluhu, Ranau tular di media-media sosial yang mana beberapa pihak mendesak agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu pelajar tersebut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN