DSP Simiun Lomudin merakam gambar bersama para pegawai dan anggota Rela yang hadir dalam program tersebut.
RANAU : Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menghargai kerjasama erat Jabatan Sukerelawan Malaysia (RELA) untuk mempastikan tahap keselamatan masyarakat di daerah ini terus terjamin bagi mewujudkan suasana komuniti selamat.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, beliau bangga kerjasama dipamerkan pegawai dan anggota Rela dengan pihak PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau khususnya dalam tugas-tugas mengawal keselamatan komuniti termasuk juga dalam tempoh Pilihanraya Umum (PRU) Ke-15 yang sedang berlangsung ketika ini.
“Kerjasama erat antara Rela dan PDRM akan mewujudkan suasana sentiasa selamat dan harmoni dikalangan masyarakat. Pihak kami sangat menghargai komitmen yang di pamerkan setiap pegawai dan anggota Rela yang tidak pernah mengenal erti penat lelah ketika bertugas bersama”. Tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Program Pemantapan Keselamatan PDRM Bersama Rela Daerah Ranau yang berlangsung di Dewan Serbaguna IPD Ranau pada Isnin. Seramai lebih kurang 100 orang pegawai dan anggota Rela hadir dalam majlis tersebut termasuk anggota Sukarelawan Polis Di Raja Malaysia (SPDRM).
Menyentuh mengenai penugasan Rela sempena Pilihanraya Umum Ke-15, Simiun berkata, bagi Pusat Pembuangan Undi yang mempunyai lebih daripada lima saluran, seramai lima orang Pegawai Rela perlu ditempatkan manakala Pusat Pembuangan Undi kurang daripada lima saluran, sebanyak tiga orang Pegawai Rela akan menjalankan tugas dilokasi tersebut.

Sesi ceramah keselamatan disampaikan oleh ASP Helvin Ribus, Ketua Cawangan Khas Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau.
Jelasnya, pegawai dan anggota PDRM turut bersama dalam penugasan itu dan jika terdapat sebarang kemuskilan dari kalangan Rela boleh terus merujuk kepada mereka untuk mendapatkan pandangan selanjutnya.
Dalam pada itu, Simiun turut menjelaskan pihaknya komited untuk mengadakan aktiviti bersama Rela bukan sahaja yang berkaitan dengan tugasan rasmi malah aktiviti riadah dan santai pada masa akan datang untuk mengeratkan lagi tali silaturahim diantara kedua-dua agensi penguatkuasa itu.
“Mungkin pada masa akan datang, kita boleh menganjurkan aktiviti santai seperti perkelahan, sukaneka dan majlis-majlis hari keluarga yang boleh mengeratkan tali silaturahim antara PDRM dan Rela. Aktiviti seumpama itu baik kerana di sana nanti kita akan dapat melihat bakat-bakat anggota Rela seperti memasak dan menyediakan khemah”. Katanya.
Sebelum itu, dalam sesi ceramah yang disampaikan oleh ASP Helvin Ribus, Ketua Cawangan Khas Daerah IPD Ranau, beliau menegaskan ancaman semasa kepada negeri Sabah tidak boleh dipandang ringan semua pihak termasuk agensi Rela.
Tegasnya, kelalaian sebagai pegawai dan anggota penguatkuasa akan membuka ruang kepada elemen-elemen keganasan menyusup masuk ke negeri ini seterusnya melakukan pelbagai jenayah yang boleh memudaratkan keselamatan masyarakat.
“Anda semua sebagai pegawai dan anggota Rela telah diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk menjalankan tugas bersama agensi penguatkuasa lain seperti PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mempastikan tahap keselamatan terus terjamin. Jalankan tugas dengan bertanggungjawab dan jangan sesekali memandang remeh ancaman yang boleh berlaku disekeliling kita”. Tegasnya.
Turut hadir dalam majlis itu adalah ASP Lesius Drunnsung dan Inspektor Mohamad Ikhsan Firdaus Azmi, Inspektor Cawangan Khas Daerah IPD Ranau serta Sub-Inspektor Abdul Manaf bin Mustafa, Ketua Balai Polis Ranau dan Sub-Inspektor Jusman Saad, Ketua Balai Polis Kundasang.