JAWAB….salah seorang pelajar dari SMK Taman Perumahan Bedaun menjawab soalan ujian melalui goagle form.
LABUAN: Sekalipun tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-3 sehingga 28 April ini, namun program Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Labuan tetap berjalan dengan lancar.
Menurut satu kenyataan dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, aplikasi Whatsapp dan telegram menjadi medium interaksi yang digunapakai oleh guru untuk menyampaikan maklumat, video, rakaman suara, arahan, tugasan dan latihan kepada murid-murid.
Selain itu pembelajaran digital google bilik darjah yang telah sedia ada digunakan di Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pembelajaran murid dapat membantu guru disamping aplikasi lain yang membolehkan interaksi secara terus dengan murid dapat dilakukan.
Bagaimanapun tidak semua ibu bapa mampu untuk menyediakan fasiliti pembelajaran dalam talian.
Sehubungan itu, guru mengambil inisiatif sedia ada dengan menggunakan buku teks, buku latihan sebagai bahan pembelajaran dan telefon sebagai medium perantaraan interaksi.
Tinjauan penglibatan guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan mendapati 93.75% melaksanakan PdP dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 3 April 2020. Perkembangan pembelajaran digital dan PdP berbantukan internet di Labuan juga menunjukkan peningkatan yang positif.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin berharap, PdP guru mengajar dari rumah sentiasa berjalan dengan baik dan lancar sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Beliau berkata, seramai 1118 orang guru atau 88.5% guru menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium interaksi bersama ibu bapa dan murid.
Beliau berkata bermula dari 30 Mac hingga 3 April lalu sebanyak 23 buah sekolah rendah dan menengah telah meneruskan PdP dalam talian dengan lima daripadanya mencecah 100 peratus pencapaian.
Lima sekolah yang berjaya pencapaian 100 peratus itu ialah, SK Bebuloh, SK Pekan Dua dan SJK Chung Hua, SM St. Anne dan SM Taman Perumahan Bedaun. TAMAT