Raisin (tengah) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang daripada 30 penerima golongan Asnaf disediakan PDIS
RANAU- Pertubuhan Dusun Islam Sabah (PDIS) akan meneruskan usaha untuk kekal relevan sebagai satu pertubuhan yang giat aktif membantu meningkatkan tahap kehidupan masyarakat Dusun Islam di negeri Sabah.
Naib Presiden l PDIS, Encik Raisin bin Saidin berkata peranan pertubuhan itu sebagai pemudahcara di dalam usaha membantu kebajikan masyarakat Dusun Islam dengan melaksanakan pelbagai usaha bersama pihak-pihak tertentu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Ziarah Ramadhan & Majlis Kesyukuran Pertubuhan Dusun Islam Sabah yang telah diadakan di Surau Baabul Rahmah Kampung Purakagis pada Sabtu.

Pada majlis itu, seramai 30 penduduk kampung yang dikategorikan sebagai Asnaf dan Ibu Tunggal telah menerima bantuan bakul makanan. Sumbangan turut diserahkan kepada pelajar-pelajar tahfiz Pondok Bidayatul Hidayah.
Dalam pada itu, Raisin turut menekankan kepentingan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli-ahli PDIS.
“Semoga ikatan ukhuwah yang erat di antara kita akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program-program seumpama ini yang lebih banyak di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata PDIS telah merangka perbagai program sepanjang bulan Ramadhan ini yang dilaksanakan bersama dengan pihak Masjid, Surau dan Rumah Tahfiz di sekitar Kota Kinabalu, Ranau dan Tamparuli.
Hadir sama ke majlis itu ialah Timbalan Presiden PDIS Prof. Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline, Naib Presiden lll Puan Rosmilin Abdullah dan Naib Presiden V Encik Aslie Sahat serta barisan Ahli Majlis Tertinggi PDIS.



