25 C
Kota Kinabalu
Selasa, Januari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PBS Jangan Lari Dari Isu Sebenar: Pemuda UPKO

Felix Joseph Saang

KOTA KINABALU – Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, rakyat tidak mungkin akan mengundi Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya tahu mereka menerima Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai hadiah kemenangan.
 
Menurutnya, rakyat sedar ideologi politik PAS tidak sesuai untuk warga berbilang kaum di Sabah. 
 
“Saya ingin jelaskan sekali lagi, ini bukan soal individu atau soal agama. Ini merupakan soal fahaman ideologi PAS kerana rekod menunjukkan mereka sudah beberapa kali menghina agama lain. 
 
“PAS juga tiada niat langsung untuk memohon maaf. Ramai pihak yang tidak bersetuju dengan cara PAS berpolitik termasuk pemimpin-pemimpin Islam di Sabah,” katanya.
 
Felix berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sebagai respon terhadap kenyataan Ketua Pemuda PBS Christopher Mandut.
 
Dalam kenyataannya, Mandut mengatakan UPKO gagal menyuarakan hak-hak Sabah sepanjang dua tahun bersama Warisan memerintah kerajaan negeri dan turut menimbulkan persoalan tentang Pas Sementara Sabah (PSS).
 
Felix yang juga Ketua UPKO Beluran berkata, kenyataan Ketua Pemuda PBS itu menunjukkan mereka cuba lari dari isu sebenar dan cuba alihkan pandangan rakyat. 
 
“Kita suarakan kebimbangan dan keresahan rakyat Sabah tentang bermulanya era fahaman politik PAS di Sabah, tapi Mandut alihkan isu kepada PSS.
 
“Bila bercakap tentang PSS, adakah dia sedar bahawa ini adalah cadangan Menteri Dalam Negeri yang kini merupakan Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN)? 
 
“Ini adalah cadangan Tan Sri Muhyidin Yassin, PBS sepatutnya menuntut penjelasan dari beliau, kenapa salahkan UPKO?”
 
Ujar Felix, PBS sepatutnya mencontohi kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini yang berani membuat keputusan tanpa merujuk kepada persekutuan sehingga pelaksanaan PSS itu dibatalkan kerana rakyat membantah. 
 
“Kenapa pula PAS sebagai Adun dilantik perlu diakui semata-semata untuk mengikut kehendak parti Malaya. Kenapa tidak mempertahankan suara rakyat yang tidak mahukan parti itu? Ternyata PBS gagal membela suara rakyat.
 
Tambah Felix, kini ramai yang mula sedar PBS guna isu PATI hanya untuk meraih undi dan memperdaya rakyat dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini. 
 
“PBS tidak sepatutnya mengelirukan rakyat dan mempergunakan isu PATI semata-mata untuk kepentingan politik mereka.
 
“Sahabat saya Mandut mungkin lupa bahawa hasil kelantangan, keberanian dan perjuangan UPKO lah maka penubuhan Siasatan DiRaja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah terlaksana.
 
“Malangnya, apabila mantan Presiden PBS dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan warga asing Sabah, PBS gagal melakukan apa-apa. 
 
“PBS mempunyai kapasiti dan masa yang panjang untuk mencari penyelesaian sebagai Pengerusi Jawatankuasa tersebut, tetapi mereka hanya mampu berdiam diri dan tunduk kepada arahan Malaya,” katanya. 
 
“Kita akan lihat sejauh mana keikhlasan, kecekapan dan keberanian PBS untuk menyelesaikan isu warga asing (pemegang dokumen IMM13, kad burung-burung, Banci, kanak-kanak tanpa kerakyatan).
 
“Selepas lantang menggunakan isu PATI dan hari ini PBS kembali sebagai Kerajaan, rakyat Sabah ingin melihat kejujuran dan kebijaksanaan PBS untuk menyelesaikan isu tersebut dengan komprehensif.
 
“Mandut merupakan kawan baik saya, saya hanya ingin menyatakan bahawa sebagai sebuah parti politik, tidak semestinya UPKO harus berada dalam blok Kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat. UPKO akan meneruskan kepimpinan berteraskan berpelayanan. Sudah pastinya, UPKO akan menjadi mata, telinga dan suara rakyat,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN