Matusin bersama barisan kepimpinan PBRS Tulid
SOOK: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) DUN N.44 Tulid yang diketuai oleh Matusin Bowie yang juga Ketua Bahagian PBRS-BN DUN N.44 Tulid, bersama Ahli Jawatankuasa Bahagian serta semua Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM), hari ini sebulat suara merayu dan mendesak agar kerusi DUN N.44 Tulid dikembalikan kepada PBRS di bawah komponen Barisan Nasional (BN) pada Pru Dun Sabah ke-17 akan datang.
Rayuan ini disampaikan kepada Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Presiden PBRS, agar mempertimbangkan perkara ini dan seterusnya memohon kepada Perdana Menteri supaya kerusi tersebut diberikan semula kepada PBRS–BN berdasarkan kekuatan akar umbi dan khidmat bakti berterusan PBRS kepada rakyat Tulid.
“PBRS Tulid kini mempunyai lebih 8,000 ahli berdaftar, disokong oleh jentera parti yang tersusun, aktif dan sentiasa bersiap siaga di setiap peringkat PDM. PBRS telah lama berkhidmat kepada rakyat Tulid sejak sebelum DUN ini diwujudkan ketika masih di bawah kawasan DUN Sook, dan kekal konsisten membela rakyat tanpa mengenal penat lelah hingga ke hari ini”.Katanya ketika ditemui di pejabat perhubungan Parlimen Pensiangan disini.
Dalam tempoh itu katanya, PBRS menjadi satu-satunya parti yang benar-benar aktif, komited dan tulus berjuang untuk rakyat DUN Tulid. Pelbagai program kemasyarakatan, inisiatif pembangunan komuniti serta bantuan rakyat telah digerakkan hasil dedikasi pemimpin dan jentera PBRS di peringkat akar umbi.
Jelas Matusin, PBRS Tulid menyatakan sokongan penuh agar Datin Rufinah bertanding di Moyog, kawasan yang lebih sesuai dengan latar dan penerimaan politik beliau.
Namun di DUN N.44 Tulid, realitinya jelas Rufinah tidak dikenali oleh masyarakat tempatan. Rakyat Tulid mahu pemimpin jati yang benar-benar memahami budaya, keperluan dan denyut nadi masyarakat setempat, bukan calon luar yang hanya muncul menjelang pilihan raya.
Rakyat Tulid secara jelas menolak kehadiran PKR–PH di DUN N.44 kerana gabungan tersebut tidak mempunyai akar tempatan serta gagal membina kepercayaan masyarakat setempat.
Rekod mereka dalam pilihan raya lepas menunjukkan kegagalan di semua PDM, disusuli dengan tahap keahlian yang amat rendah serta calon yang tidak mencerminkan demografi dan aspirasi rakyat Tulid. Tambahan pula, ketiadaan sumbangan nyata dan penglibatan langsung dengan komuniti menjadikan kehadiran mereka dilihat bersifat sementara dan lebih bermotifkan kuasa politik daripada keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya PBRS–BN diberi kepercayaan untuk bertanding di DUN N.44 Tulid, pihaknya yakin dapat mengembalikan kemenangan kepada BN sekali gus memastikan kerusi ini menjadi benteng penting dalam memperkukuh kedudukan Barisan Nasional di Sabah.
“Kami di PBRS Tulid sentiasa komited dan bersatu padu di bawah kepimpinan YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup. Dengan kekuatan akar umbi dan semangat perjuangan PBRS yang tidak pernah luntur, kami yakin DUN Tulid mampu kembali menjadi kubu kuat BN,” ujar beliau.
Sehubungan itu, PBRS Bahagian Tulid bersama semua Ketua PDM sebulat suara merayu agar suara akar umbi ini diambil perhatian sepenuhnya. Rayuan ini bukan sekadar tuntutan politik, tetapi demi memastikan kesinambungan khidmat dan perjuangan PBRS yang telah lama membela rakyat pedalaman Tulid.



