DSP SIMIUN LOMUDIN bersama dua juruterbang polis Superintendent Irwan bin Hj. Ibrahim dan Superintendent Ayisham bin Abdullah ketika mendarat di Kg.Patau.
RANAU: Pasukan Gerakan Udara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang penduduk kampung Patau yang hilang sejak dua minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, unit itu menggunakan sebuah helikopter jenis Eurocopter AS355N Ecureuil yang dikendalikan dua juruterbang polis Superintendent Irwan bin Hj. Ibrahim dan Superintendent Ayisham bin Abdullah.
“Usaha mencari dan menyelamat mangsa disekitar kawasan hutan perkampungan tersebut terus diperhebatkan menerusi bantuan Gerakan Udara termasuk penggunaan peralatan dron daripada unit tersebut”. Katanya.
Simiun mendengar taklimat daripada Pegawai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Inspektor Syairul bin Hasbah.
Mangsa yang hilang dikenali sebagai Jurin Bin Sagantoh, 62 tahun yang didakwa keluar rumah kira-kira jam 6 pagi pada 21 Julai lepas untuk mencari rotan di hutan berhampiran kampung tersebut.
Ujar Simiun, setakat ini, pasukan mencari dan menyelamat masih belum menemui sebarang kesan atau petunjuk kedudukan mangsa dan jarak pencarian telah diperluaskan lebih kurang 2.5 Kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat.
Katanya, memasuki hari keempat misi pencarian, pihaknya turut menambah keanggotaan seramai enam orang dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 Briged Sabah yang dijangka tiba ke lokasi lewat petang Sabtu.
“Dengan adanya bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) diharap dapat membantu mengesan kedudukan mangsa dengan segera”. Tambahnya.
Turut serta dalam operasi tersebut adalah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Dron milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Kontinjen Sabah turut digunakan bagi mengesan kedudukan mangsa.
Polis Ranau sebelum ini telah menerima laporan daripada keluarga mangsa yang mendakwa mangsa telah keluar rumah kira-kira jam 6 pagi pada 21 Julai lepas untuk mencari rotan di hutan berhampiran.
Bagaimanapun, mangsa gagal pulang ke rumah dan pihak keluarga telah memulakan gerakan mencari namun tidak dijumpai sebelum laporan polis dibuat pada 31 Julai.
Kampung Patau terletak kira-kira 75 kilometer dari Pekan Ranau yang memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke lokasi kejadian.