33 C
Kota Kinabalu
Khamis, September 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pasukan bola sepak bawah 18 Tahun Tamparuli bersedia untuk Piala Presiden SAFA

JAHID Menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Affandi (bertopi) sambil disaksikan Seller (dua kanan) dan pemimpin masyarakat Tamparuli yang hadir.

TAMPARULI: Pasukan bola sepak bawah 18 Tahun Tamparuli (Tamparuli U18) bersedia untuk menghadapi Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden SAFA merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin pada awal April ini.

Pengurusnya, Affandi Johari, berkata, daripada 65 orang yang telah menyertai sesi pemilihan beberapa minggu lepas, hanya 25 pemain dipilih menyertai pasukan pada kejohanan tersebut.

Katanya, Tamparuli U18 turut menerima khidmat jurulatih dalam kalangan anak jati Tamparuli, yang merupakan bekas pemain bola sepak negeri Sabah pada 2002 hingga 2008, Billyton Vun Kiet Ming.

Manakala Seller M. Ampuling, yang juga merupakan jurulatih Penjaga Gol pasukan, turut bertindak sebagai Penolong Pengurus pasukan Tamparuli U18.

Ketika ditanya media mengenai perancangan pasukan seterusnya, beliau memberitahu, sememangnya hala tuju selepas pertandingan itu nanti adalah bagi menanam minat bola sepak dalam kalangan anak-anak muda di sekitar Tamparuli bagi tujuan melahirkan lebih ramai pemain berkebolehan untuk mendapat peluang bermain hingga ke peringkat lebih tinggi.

“Untuk program akan datang memang kami mempunyai banyak perancangan ke arah itu, tetapi kami sedar semua itu memerlukan komitmen tinggi dan sudah pasti kos perbelanjaannya juga tinggi, inilah realiti setiap pembangunan sukan di peringkat daerah apatah lagi di peringkat negeri,” jelas beliau.

Affandi berpendapat, kebanyakan yang dipilih amat berpotensi tinggi dan mampu digilap sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Ini terbukti menerusi kemenangan mereka dalan beberapa siri perlawanan persahabatan yang kami adakan dengan pasukan dikenali di Tamparuli.

Sementara itu, Seller, memberitahu, pasukan tersebut akan berkumpul di Penampang bermula 2 April ini untuk memberi pendedahan pemain kepada padang kejohanan.

Kejohanan sebenar peringkat Zon akan bermula pada 3 hingga 4 April, di mana Tamparuli termasuk dalam kumpulan Zon Pantai Timur bersama Penampang, Kiulu dan Tuaran.

Dalam pada itu, Jahid, berkata, bola sepak masa kini boleh dijadikan sebagai satu kerjaya selain bagi tujuan kecergasan dan kesihatan.

“Kalau dahulu mungkin setakat hobi, tetapi kini bola sepak boleh dijadikan sebagai pekerjaan, lihat sahaja kejayaan mana-mana pemain terkemuka sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahu pun antarabangsa,” katanya.

Beliau melahirkan rasa gembira atas semangat yang ditimbulkan kembali pasukan itu dan berharap agar mereka mampu mengembalikan kegemilangan sukan tersebut bukan sahaja di Tamparuli tetapi amnya di Sabah.

Hari ini, pasukan berkenaan telah membuat kunjungan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, di pejabatnya, dekat sini dan menerima sumbangan sejumlah RM5,000 bagi menampung perbelanjaan Tamparuli U18 pada kejohanan tersebut nanti.

Turut hadir Setiausaha Politik KPLBS, Jilias Lintar, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Perhubungan Awam KPLBS, Romeo Sindeh dan Pemaju Mukim, James Sinail.

Sebelum ini, Jahid juga telah hadir memberi sokongan sambil menyaksikan sesi pemilihan pemain di Padang Pekan Tamparuli dan menerima kertas kerja daripada Affandi dan pasukannya bagi tujuan itu baru-baru ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN