ADVERTISEMENTspot_img

Pasukan Asyasa johan Pertandingan Bola Sepak Piala MP Ranau Edisi 2

Pasukan Asyasa dengan hadiah kemenangan mereka selepas muncul johan Pertandingan Bola Sepak Piala MP Ranau Edisi 2


RANAU: Pasukan Asyasa dari Tenom muncul johan Pertandingan Bola Sepak Piala MP Ranau Edisi 2 yang berlangsung di Padang A Dan B Kompleks Sukan Ranau di sini baru-baru ini.


Dengan kemenangan tersebut, Pasukan Asyasa berjaya membawa pulang sebuah piala, medal dan wang tunai berjumlah RM20,000.


Dalam pertandingan itu, Naib Johan jatuh kepada Pasukan Leenow Mix dari Kota Belud di mana mereka berjaya membawa pulang piala, medal dan wang tunai seanyak RM13,000.


Sementara itu, Tempat Ketiga pula dimenangi bersama oleh Pasukan Kudat Classic dan BK fc, di mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000.


Hadiah-hadiah individu dimenangi oleh Civersi Sidiki (pemain terbaik), Jais Ambat (penjaring terbanyak) dan Jenebius Ambutang (penjaga gol terbaik). Ketiga-tiga pemain tersebut adalah dari Pasukan Asyasa.


Pertandingan Bola Sepak Piala MP Ranau Edisi 2 itu diadakan selama dua hari iaitu dari 9-10 Ogos 2025.


Dalam ucapan perasmiannya, MP Ranau, Datuk Jonathan Yasin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Romzie @ Likad Muhamad sebagai Pengerusi Penganjur Pertandingan Bola Sepak Piala MP Ranau Edisi 2 pada tahun ini.


“Bagi semua pasukan-pasukan yang telah mengambil bahagian, saya ucapkan syabas, tahniah. Saya difahamkan ada pasukan yang datang dari Lahad Datu, Sandakan, Bongawan dan lain-lain,” katanya.


Beliau berharap bahawa kualiti sukan bola sepak di negeri ini, khususnya di Ranau akan terus bertambah baik walaupun ada di kalangan penggiat bola sepak yang usianya sudah meningkat.


“Kita berharap bahawa para pemain-pemain dapat menjadi idola kepada generasi-generasi baru supaya sukan bola sepak kita bukan sahaja harum di daerah kita sendiri, bukan sahaja harum di dalam negeri Sabah, bahkan boleh mencipta nama di dalam negara dan di luar negara.


“Oleh sebab itu, Parlimen Ranau sentiasa menyokong sukan-sukan pertandingan bola sepak yang diadakan khususnya di dalam daerah Ranau dan akan berusaha membantu yang terdaya yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan lagi sukan bola sepak di negeri Sabah,” katanya.


Jonathan berharap semua pemain yang mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini bermain dengan penuh disiplin, dan mengelakkan daripada bergaduh, dan bermain dengan kekasaran.


“Sukan bola sepak kita itu terlalu harum Namanya, jadi jangan kita rosakkan dengan pergaduhan dan perkelahian di atas padang. Jadi sebab itu, saya berdoa semoga pertandingan kali ini akan mencapai misinya.


“Diharapkan, melalui pertandingan ini, kita dapat melihat aksi-aksi pemain-pemain yang hebat-hebat daripada Ranau dan daripada daerah-daerah lain supaya pertandingan pada kali ini membuahkan kenangan yang manis.


“Kita mahu para penonton dapat menyaksikan bahawa sukan bola sepak sesungguhnya satu sukan yang sangat memberikan kebaikan dan juga memberikan ketenangan serta membawa impian khususnya bagi mereka yang menjadi juara,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN