Gambar: SERAH… Haji Hamir menyerahkan memoarandum kepada Shahidan sambil diperhatikan oleh AJK PAS Labuan.
LABUAN: PAS Wilayah Persekutuan Labuan menyerahkan Memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kasim yang diadakan dalam satu majlis ringkas sempena lawatan kerja dua hari menteri itu ke Labuan pada Sabtu.
Menurut Yang DiPertua PAS Wilayah Persekutuan Labuan, Haji Hamir Zahari memorandum berkenaan merupakan tuntutan PAS Labuan agar jumlah peruntukan RMK ke 12 untuk Wilayah Persekutuan Labuan ditambah, selaras dengan peruntukan yang diberikan kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Peruntukan tersebut juga adalah untuk kemajuan pembangunan ekonomi dan infrastuktur di Labuan…..sudah sampai masanya Labuan berdiri setaraf dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di salah sebuah restoran di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, PAS Labuan meminta supaya peruntukan ditambah kepada RM1 bilion di bawah RMK 12 bagi memastikan pembangunan Labuan bergerak seiring dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan berharap agar Kementerian Wilayah Persekutuan dapat membuat pertimbangan dan penilaian sewajarnya, demi kemajuan dan keselesaan rakyat Labuan.
Hadir sama Timbalan Yang Di Pertua PAS Labuan, Ustaz Ahmad Junit dan Naib Yang Di Pertua PAS Labuan, Haji Abdul Rahim Mohd Salleh.