30 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Julai 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pandangan Semua Pihak Diambil Kira Dalam Cadangan Keluarkan PSS: Ewon

Oleh: MARRYAN RAZAN

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick optimis kerajaan negeri akan mengambil kira sentimen dan pandangan semua pihak berhubung cadangan mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di negeri ini.
 
Naib Presiden UPKO itu berkata, ini kerana masalah pendatang asing adalah masalah nombor satu di Sabah dan perlu penyelesaian secara tuntas.
 
“Pandangan peribadi saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kadamaian dan Naib Presiden UPKO ialah masalah pendatang asing adalah masalah nombor satu di Sabah, oleh itu kita (kerajaan) perlu membuat ketetapan untuk menyelesaikannya.
 
“Penyelesaiannya bukan seperti yang dilaksanakan selama ini, tetapi penyelesaian baharu yang berorentasikan rakyat Sabah kerana masalah ini menjejaskan keseluruhan negeri Sabah termasuk keselamatan dan kedaulatan negeri dan rakyat Sabah berhak mengemukakan input-input kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menganjurkan jamuan Krismas di Dewan Kementerian Pembangunan Luar Sabah (KPLB) Sabah, di sini, pada Jumaat.
 
Sehubungan itu Ewon berkata, kerajaan Sabah memutuskan supaya satu kertas Kabinet dibentangkan pada tahun depan bagi membuat keputusan berhubung cadangan mengeluarkan PSS kepada warga asing.
 
Katanya, kertas kabinet itu perlu dibentangkan dalam mesyuarat kabinet negeri Sabah dengan mengambil kira semua input termasuk yang dikemukakan agensi keselamatan, parti-parti politik, jemaah menteri, wakil rakyat dan pelbagai lapisan masyarakat Sabah yang mengambil bahagian dalam perkara itu.
 
“Selaku kerajan yang prihatin terhadap kepentingan rakyat, pandangan semua pihak perlu diambil kira dan rumuskan dalam kertas kabinet sebelum membuat keputusan muktamad termasuk syor dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah,” katanya.
 
Ewon berkata: “Di peringkat kerajaan negeri, kita telah diberi taklimat oleh Jabatan Imigresen Negara namun kerajaan negeri belum membuat keputusan muktamad”.
 
“Dalam taklimat itu, kita mengemukakan maklum balas supaya tindakan diambil Jabatan Imigresen dan Majlis Keselamatan Negara untuk mereka kembalikan kepada kabinet negeri Sabah,” katanya.
 
Katanya lagi, secara peribadi beliau mengakui memang ada keperluan untuk menggantikan kad-kad sedia ada yang terbukti susah untuk mengawal atau memantau pergerakan keluar masuk pemagang dokumen-dokumen seperti IMM13, Kad Burung-Burung dan Siji Banci kerana ia hanya sekeping kertas dan tidak dapat dibaca melalui sistem komputer.
 
“Sekiranya kita (kerajaan) memutuskan dokumen baru, semua perincian termasuk syarat, skop dan tempoh pelaksanaannya akan dimaklumkan kepada rakyat dan rakyat akan memberi maklumbalas sebelum kerajaan membuat keputusan akhir, sebab kita tidak boleh mengabaikan pandangan rakyat dalam proses membuat keputusan,” katanya.
 
Ewon berkata, beliau juga mengambil inisiatif mengumpul pandangan dan maklumbalas dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk rakan strategik seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan pimpinan peringkat akar umbi untuk dikemukakan dalam mesyuarat kabinet apabila tiba masanya membincangkan perkara itu.
 
“Di peringkat Upko pula, kita akan mengadakan perbincangan meja bulat melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ‪pada 23 Disember‬ ini untuk mendapatkan taklimat dan juga memberikan syor kepada MKN,” katanya.
 
Beliau yakin Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal akan mendengar pandangan dan cadangan dari pelbagai pihak termasuk syor yang dicadangkan dalam RCI.-TAMAT-
 

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN