Pakar UMS guna konsep Bioremediasi Atasi Pencemaran Alam Sekitar

Pakar UMS guna konsep Bioremediasi Atasi Pencemaran Alam Sekitar

03/12/2021 Off By Leo Kenzo

KOTA KINABALU, 03 DISEMBER – Pakar Sains Sekitaran Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Nur Zaida Zahari memaklumkan konsep bioremediasi mampu mengatasi pencemaran alam sekitar dengan cepat dan selamat.

Menurutnya, konsep itu menggunakan organisma hidup untuk pemulihan atau pembersihan medium yang tercemar seperti air, tanah atau sisa industri yang mengandungi bahan toksik.

“Seperti yang kita sedia maklum, bahan-bahan buangan terjadual sama ada akibat daripada aktiviti perindustrian atau aktiviti seharian amatlah membimbangkan kerana ia boleh memusnahkan alam sekitar dalam tempoh yang sangat singkat.

“Ia bukan sahaja menyebabkan pencemaran setempat tetapi membawa kepada kesan global, selain memerlukan tempoh yang lama untuk dipulihkan semula.

“Namun, dengan menggunakan konsep bioremediasi, kesan pencemaran mampu dikurangkan sekali gus ditangani kerana kaedah ini bertindak menyahtoksik atau mengubah bahan-bahan pencemar toksik menjadi bahan pencemar kurang toksik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan webinar secara dalam talian bertajuk “Bioremediasi – Teknologi Hijau bagi Alam Sekitar” baru-baru ini.

Webinar itu dianjurkan dengan gabungan kerjasama U-Science, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, dan MySTEM Ambassador UMS.

Menurut Nur Zaida, penggunaan konsep teknologi hijau itu amat digalakkan kerana ia dilakukan secara proses semula jadi tanpa kesan sampingan yang berbahaya.

“Melalui konsep bioremediasi ini, persekitaran yang tercemar seperti tanah, air bawah tanah serta persekitaran marin akan mengalami proses pemulihan dengan lebih cepat.

“Selain itu kos yang terlibat jauh lebih murah dengan penggunaan peralatan yang minimum,” katanya.

Webinar penuh berdurasi hampir 50 minit itu boleh diikuti melalui saluran Youtube Pusat UScience UMS di https://www.youtube.com/watch?v=qQJ9k773gVM