27 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Paip Bocor, PL mohon bantuan pakar syarikat minyak dan gas

TINJAU…. Dr Fary (kanan) bersama Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan ketika meninjau perkembangan terkini kerja-kerja pembaikan paip berkenaan.

LABUAN: Perbadanan Labuan kini berusaha untuk meminta bantuan pakar daripada syarikat minyak dan gas untuk membantu memulihkan semula masalah kebocoran paip pam utama yang telah memasuki hari ke enam pembaikannya yang masih belum menampakkan sebarang kemajuan.


Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata bantuan pakar diperlukan selepas yang dilantik oleh Jabatan Bekalan Air (JBA) menghadapi kesukaran untuk kerja-kerja pembaikan.


“Kami meminta bantuan dari syarikat minyak dan gas terutama mereka yang mempunyai kepakaran kerja paip dan kimpalan dalam air untuk membantu menyelesaikan kebocoran paip pam yang telah dipenuhi dengan air” katanya kepada media selepas melawat kerja-kerja pembaikan paip berkenaan di Jalan Pulau Enoe, petang kelmarin.

PAM AIR berkuasa tinggi yang mampu menyedut 280 padu air sesaat turut digunakan dalam kerja-kerja pembaikan paip bocor berkenaan.


Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan yang membabitkan tiga kontraktor yang dilantik oleh JBA turut menghadapi masalah baharu apabila mereka mengesan terdapat dua lagi paip bocor berhampiran dengan paip yang sedang dibaiki menyebabkan air paip yang bocor itu membanjiri semula kawasan paip yang sedang dibaik pulih.


Berikutan kesukaran itu, beliau tidak menolak kemungkinan kerja-kerja membaik pulih kebocoran paip berukuran 800mm diameter dengan kedalaman menjangkau hampir 5 meter dari paras permukaan tanah itu akan berpanjangan.


Bagaimanapun katanya, Perbadanan Labuan dengan kerjsama beberapa agensi seperti JBA dan JKR akan berusaha melakukan yang terbaik bagi mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna dengan membekalkan air menerusi tangki tangki statik yang di sediakan di setiap kampung dan kawasan perumahan.


Dalam perkembangan yang berkaitan, Dr Fary berkata, kerajaan telahpun meluluskan peruntukan bernilai RM68 juta untuk penggantian paip air pengagihan yang usang sepanjang 144 kilometer.


Sementara itu di bawah RMK 12, kerajaan juga katanya telah meluluskan sebanyak RM15 juta bagi kerja-kerja penggantian paip air usang di tiga buah kampung membabitkan Bebuloh, Patau-Patau dan Rancha-Rancha yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2021.


Bagaimanapun katanya, Perbadanan Labuan bersama JBA akan berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk mempercepatkan supaya projek penggantain paip yang dijadual pada tahun 2021 itu dipercepatkan pada tahun ini bagi mengelakkan penduduk Labuan terus dibebani dengan masalah ganguan bekalan air. End

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN