Kenderaan pacuan empat roda yang hanyut itu
RANAU: Dua orang lelaki cuba menyeberangi sungai dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda namun berakhir dengan tragis apabila kedua mangsa mati lemas setelah kenderaan mereka dihanyuti air dekat sini, Sabtu.
Ketua Balai BBP Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, kejadian berlaku di Sungai Moroli Kg Narawang Ranau, Sabah pada sekitar jam 10 pagi.
“Panggilan melalui Talian Balai pada jam 10.22 pagi diterima, lalu sekumpulan anggota seramai enam orang diketuai saya sendiri sebagai Komander Operasi bergegas ke lokasi.
“Turut serta dalam operasi menyelamat termasuk dua anggota Bomba Bantuan PBS Singaron Baru, 12 orand anggota PDRM, dan seramai 25 orang awam.
“Setiba di lokasi sejauh 20 kilometer dari balai itu, kita mendapati terdapat dua orang mangsa yang dipercayai lemas di Sungai Moroli, Kampung Narawang, Ranau disebabkan kenderaan dinaiki hanyut,” katanya.
Rantey berkata, pengadu mengatakan bahawa, kedua-dua mangsa menaiki sebuah kenderaan jenis Ford Ranger dan cuba menyeberangi Sungai Moroli, namun arus sungai yang deras menyebabkan kenderaan tersebut gagal menyeberang.
“Kenderaan itu kemudian ditemui oleh orang awam kira-kira 200 meter dari tempat kenderaan hanyut, dan kenderaan tersebut kosong tanpa mangsa di dalamnya.

Anggota penyelamat dan anggota polis meletakkan mayat mangsa di dalam trak- Foto: Bomba
“Pasukan Bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menjalankan operasi (SAR), dan mendapati kedua-dua mangsa telah dijumpai oleh orang awam,” katanya.
Menurut beliau, mangsa pertama dijumpai pada jam 11.18 pagi di lokasi 10 kilometer dari lokasi kenderaan, manakala mangsa kedua dijumpai pada jam 11.48 di lokasi 1 kilometer dari lokasi mangsa pertama dijumpai.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 1.23 petang.



