Otai KM (berdiri belakang) menang 2-1 ke atas TB Mix, layak ke suku akhir
RANAU: Pasukan Otai KM adalah antara lapan pasukan yang berjaya layak ke peringkat suku akhir Pertandingan Bola Sepak Veteran Sabah, Piala Taralamas 2022 yang akan berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Nalapak hujung minggu akan datang.
Pada perlawanan pertama Ahad lalu, Otai KM terikat seri 1-1 dengan RRB dan menang 2-1 menentang TB Mix. Dengan kemenangan itu Otai KM menduduki tangga teratas liga Kumpulan D dengan berjaya mengumpul 10 mata dan 8 jumlah jaringan hasil daripada 4 perlawanan. Rakan pasukannya yang menduduki tempat kedua turut layak ke suku akhir iaitu Aki Legends yang berjaya mengumpul 9 mata, 1 jaringan dan 4 kali perlawanan.
Pasukan lain yang layak ke peringkat suku akhir ialah DBKK Vet (5 perlawanan, 14 jaringan, 11 mata), Kudat Classic (5 perlawanan, 9 jaringan, 11 mata), Nabawan Vet (5 perlawanan, 18 jaringan, 13 mata), Pemuntarian Vet (5 perlawanan, 6 jaringan, 12 mata), Bomag Legends (4 perlawanan, 13 jaringan, 12 mata) dan Clasico A (4 perlawanan, 3 jaringan, 9 mata).
Menurut Pengarah Kejohanan, David Julian, perlawanan suku akhir akan berlangsung pada 13 dan 14 Ogos 2022. Perlawanan pertama pada 13 Ogos yang akan bermula pada jam 8.00 pagi ialah pasukan DBKK Vet menentang Calsico A, Nabawan Vet vs Aki Legends (10.00 pagi) dan Bomag Legends vs Kudat Clasic (2.00 pm) manakala pada 14 Ogos ialah perlawanan di antara Otai KM vs Pemuntarian Vet (9.00 am).
David mengingatkan semua pasukan agar sentiasa menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan sentiasa mengawal perasaan semasa bermain.
“Kita datang dari berbagai daerah. Kejohanan ini bukan untuk mencari musuh atau pergaduhan. Sentiasa saling bermaafan. Objektif kita adalah lebih kepada mempertemukan otai-otai yang masih berminat bermain bola sepak agar dapat bersuai kenal dan mengeratkan persahabatan,” jelas David.