BANGKOK: Seorang nelayan di Thailand bakal bergelar jutawan segera setelah menemui muntah ikan paus atau ‘ambergris’ yang dianggarkan bernilai sekitar AS$1.2 juta (S$1.6 juta).
Narong Phetcharaj berada di pantai Niyom apabila beliau ternampak objek aneh di pantai berkenaan yang terletak di wilayah Surat Thani, selatan Thailand.
Portal berita The National News melaporkan bahawa Phetcharaj kemudian menemui bahan ambergris seberat 30 kilogram.
Objek itu dipercayai dimuntahkan seekor ikan paus sperma dan dijangka boleh dijual pada harga sehingga AS$40,000 (S$54,578) sekilogram.
Ini bermakna ambergris yang ditemui Phetcharaj dianggarkan bernilai sekitar AS$1.2 juta.
Seorang pakar di Universiti Prince of Songkla kemudian mengesahkan muntah ikan paus yang ditemui Phetcharaj sebagai ambergris.
Bahan ambergris itu dihasilkan oleh ikan paus selepas ia makan sejumlah besar hidupan sefalopod seperti sotong.
Bahan itu terhasil apabila makanan itu tidak dicerna sepenuhnya dan ia bergerak ke usus ikan paus sebelum menjadi jisim padat dalam perut ikan paus selama bertahun-tahun.
Ambergris lazimnya ditemui terapung di permukaan laut setelah dimuntahkan oleh ikan paus.
Apabila ia basah, baunya sangat busuk namun setelah ia dikeringkan, bahan itu berupaya mengeluarkan aroma yang manis dan tahan lama.
Malah, ia merupakan ramuan paling dicari dalam industri minyak wangi.
“Tidak ada penduduk kampung yang pernah melihat atau menyentuh ambergris sebenar dan itulah sebabnya semua orang gembira.
“Saya sangat teruja, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya merancang untuk menjual ambergris ini kerana saya sudah menerima sijil untuk membuktikan ia benar.
“Sekiranya saya dapat harga yang baik, saya akan berhenti bekerja sebagai nelayan dan mengadakan pesta untuk rakan saya,” kata Petcharaj.
Objek itu disebut sebagai harta karun laut dan ibarat seperti ’emas terapung.’- Agensi berita/HA/ha