Gambar:BAKUL MAKANAN….Niswati (tiga kanan) menyerahkan bakul makanan kepada sala seorang ibu tunggal dari Kampung Lubok Temiang sambil diperhatikan Bashir dan Mariam (dua kanan)
LABUAN: Nasib ibu tunggal di pulau ini tidak akan dipinggirkan, malah Umno Bahagian Labuan khususnya akan terus membela bagi memastikan golongan kurang bernasib baik itu dapat menikmati kehidupan seperti dirasai oleh masyarakat yang lain.
Ketua Umno Bahagian Labuan, Senator Datuk Bashir berkata, Umno Bahagian Labuan melalui Pergerakan Wanitanya akan terus mendampingi golongan ibu tunggal bukan sahaja membantu dalam menyalurkan bantuan kebajikan tetapi juga keperluan lain yang membabitkan kegiatan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada golongan tersebut.
“ Umno Bahagian Labuan tidak pernah meminggirkan golongan ibu tunggal khususnya dalam menyalurkan bantuan yang diperlukan oleh golongan itu” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan bakul makanan kepada golongan ibu tunggal yang diadakan secara berkelompok di lima buah kawasan membabitkan Perumahan LDA Sungai Bedaun, Kilan Pulau Akar, Lubok Temiang, Tanjung Aru Nelayan dan Rancha-Rancha, pada Ahad.
Turut sama, Ketua Wanita Umno Bahagian Labuan, Niswati Tarji, Setiausaha Umno Bahagian, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan, Ketua Penerangan Umno Bahagian, Sahari Amdan dan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Labuan, Mariam Sawal.
Pada majlis itu sebanyak 261 bakul makanan telah diagihkan kepada ibu-ibu tunggal yang diselaraskan oleh Persatuan Ibu Tunggal Labuan.