JAMES (tengah) ketika melawat booth pameran di sempena program itu di Padang Bandaran Sandakan, pada Sabtu
SANDAKAN: Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR) Datuk James Ratib berkata Kerajaan Negeri mahu supaya Hospital Dutches of Kent Sandakan dinaiktaraf menjadi Hospital Negeri.
Menurut beliau, hal tersebut perlu dilakukan supaya rakyat di Sandakan tidak perlu lagi pergi ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan daripada doktor-doktor pakar.
“Dalam perjumpaan saya dengan Menteri Kesihatan Malaysia dan Timbalan Menteri, KSU dan Ketua Pengarah, kita menjelaskan supaya Hospital Dutches of Kent Sandakan dinaiktaraf menjadi Hospital Negeri.
“Alhamdulilah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telahpun bersetuju dalam principal untuk membesarkan Hospital Sandakan dengan kos lebih kurang RM400 juta sebagai persediaannya menjadi Hospital bertaraf Negeri.
“Respond KKM sekarang ini amat positif dan mereka akan memantau sehingga bangunan hospital dapat dinaiktaraf sebelum menaiktarafkan statusnya. Untuk maklumkan, kerja-kerja awalan sedang dibuat ketika ini,” kata beliau.
Menurut James lagi, apabila ia sudah dinaiktaraf, pihak Kementerian Kesihatan wajib menambah fasiliti-fasiliti ataupun peralatan-peralatan dan pembesaran hospital Sandakan lebih cepat.
“Apabila Hospital Sandakan sudah menjadi Hospital bertaraf Negeri, dan segala kemudahan fasiliti dan doktor-doktor pakar wajib dihantar ke Sandakan.
“Bukan setakat Pakar Am yang kita sudah ada sebanyak 16 orang. Tetapi apa yang kita tidak ada ialah major doktor, yang berada di atas daripada doktor pakar awam.
“Begitu juga dengan fasiliti-fasiliti, kemudahan dan peralatan di hospital ini kena dinaiktarafkan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Negeri Sabah 2024, di Padang Bandaran Sandakan, pada Sabtu.
Dengan perkembangan ini, katanya, rakyat di Sandakan, terutama para pesakit, tidak perlulah pergi ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan daripada doktor-doktor pakar yang juga ada di sini pada ketika itu.
Selain hospital Sandakan, James memberitahu bahawa Kerajaan Negeri juga mahu melihat Hospital Tawau juga dinaiktaraf kepada hospital peringkat negeri.



