AKTIVITI DI LAPANGAN….Dr.Jurry (berdiri kanan) bersama sebahagian peserta.
RANAU: MyYoung Herbalist Program 1.0 Fasa 1 telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Libang, di sini, baru-baru ini.
Program melibatkan 30 orang murid tahun 4 dan 5 itu merupakan Inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Akademi Sains Negara dalam membudayakan STEM melalui program STI 1003 (Sains Teknologi dan Inovasi -100 saintis, 100 sekolah, 100 hari) .
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr. Jurry Foo bersama guru-guru sekolah rendah yang terpilih telah menjayakan program itu.
Dr. Jurry yang merupakan salah seorang saintis terpilih di bawah agensi Pusat Sains Negara telah memperkenalkan modul MyYoung Herbalist yang melibatkan aktiviti mengenali tumbuhan di persekitaran, kegunaan, pengecaman spesies dan asas membuat koleksi tumbuhan sebagai memupuk minat murid dalam kajian etnobotani.
Beliau berkata, bagi memberikan impak kepada program itu, Pegawai Perhutanan Daerah Johor Utara, Haridyn Hanti diundang sebagai penceramah.
PENCERAMAH…Haridyn, Alumni SK.Kg. Libang,
“Hardyn yang juga alumni SK. Libang, telah berkongsi tentang kajian tumbuhan di lapangan dan secara tidak langsung sebagai inspirasi kepada murid-murid terhadap kajian tumbuhan.
“Fasa kedua dan ketiga program ini akan dijalankan dalam masa yang terdekat melibatkan aktiviti penyediaan sampel tumbuhan dan koleksi spesies dalam usaha mewujdukan sudut herbarium sekolah yang pertama, khususnya di Sabah,’ katanya kepada Borneo Daily Bulletin, pada Ahad.
Menurut Dr.Jurry, guru besar SK. Libang dan guru-guru terpilih menyambut baik program tersebut dalam persediaan penganjuran Karnival STEM pada hujung tahun ini.
Tambahnya, sekolah lain yang terpilih bagi daerah Ranau ialah SMK Bundu Tuhan di bawah kendalian saintis Pusat Sains Negara Profesor Dr. Justin Sentian.