OLEH : SALWA ARAMAT
RANAU : Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Dr.Mistirine Binti Radin menyarankan kepada warga pendidik supaya terus membekalkan anak didik dengan ilmu pengetahuan secukupnya agar menjadi model insan yang berpengetahuan, berkemahiran, mendukung prinsip dan nilai yang luhur serta mempunyai ketahanan diri yang tinggi untuk bersaing dalam kehidupan global.

Beliau berkata, tahun-tahun mendatang, akan lebih membawa cabaran kepada warga pendidikan kerana diwarnai dengan kebangkitan revolusi maklumat dan multimedia yang amat besar pengaruhnya terhadap penyebaran sistem maklumat dan berhadapan dengan arus teknologi yang begitu pesat memerlukan pengorbanan para pendidik untuk menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran sewajarnya kepada anak-anak supaya tidak ketinggalan dihanyut ditelan arus.
Pihak sekolah katanya, perlu memastikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) abad ke-21 dlaksanakan sepenuhnya dan jangan jadikan kekurangan prasarana sebagai halangan, sebaliknya harus bertugas sebagai fasilitator dan memberi penekanan terhadap perkembangan prestasi sebenar murid dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan bukan dalam peperiksaan sahaja.

“Pemahaman falsafah PBD itu sendiri oleh pentadbir adalah amat dituntut supaya kemanjadian murid dari pelbagai sudut dapat direalisasikan.
“Saya pasti peranan pendidik semakin mencabar dalam era alaf baharu ini memastikan pendidikan berfungsi untuk memanusiakan manusia berpaksikan kepada konsep kemanjadian murid”, jelas Dr.Mistirine ketika berucap merasmikan majlis ‘Apresiasi Sanjungan Budi, Tautan Kasih’ 2019 Pejabat Pendidikan Daerah Ranau di Perkasa Hotel Mount Kinabalu Kundasang baru-baru ini.

Dr.Mistirine seterusnya, mengajak warga pendidik supaya cara berfikir, cara bertindak dan cara bekerja perlu ditambahbaik dan daripada amalan yang biasa kepada yang luar biasa.
Beliau menegaskan, hijrah minda atau anjakan paradigm, berfikir di luar kotak kebiasaan, berfikir secara lateral atau stategi lautan biru perlu digalakkan dikalangan warga pendidik bagi menjana minda kreatif serta memiliki kemahiran berfikir aras tinggi dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara sekaligus membina masa depan pelajar yang cemerlang.
“Kepimpinan berkesan adalah pemimpin yang komited terhadap kerja dan pengikutnya, menjadi insan contoh, memupuk nilai baik, berani menyahut cabaran dan perubahan, menumpukan kepada misi sekolah, berintegriti tinggi dan kejayaan sesuatu transformasi berasaskan kepada teknologi terbaru serta menggunakan fomula pengurusan yang canggih”, tegasnya.

Menurutnya lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertekad untuk meneruskan usaha gigi mentransformasikan sistem pendidikan negara di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2023-2025 kerana pelbagai cabaran harus ditempuh ke arah keberhasilan murid justeru tahun 2019 adalah fasa Gelombang 2 (2016-2020) dan fokus utama adalah melakukan perubahan struktur bagi mempercepatkan transformai menerusi penerapan budaya kerja berprestasi tinggi.
Beliau seterusnya menyeru kepada semua Pengetua, Guru-Guru Besar dan guru-guru sekolah di daerah Ranau dan negeri Sabah supaya berganding bahu secara berterusan merealisasikan amanah membina sebuah negara bangsa yang bersatu, maju serta makmur.
Berucap sama ialah, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Perancangan Dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Siti Hamni Binti Hashim, PPD Ranau, Majus Munsing dan Timbalan PPD Ranau (Sektor Perancangan), Mozaini Yukin.

Turut hadir ialah, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Sabah, Muddin Beting, Pengerusi Persatuan Pengetua daerah Ranau, Jamirin Sahamin, Pengerusi Majlis Guru Besar (MGB) daerah Ranau, Asmail Gakau, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Alexander Liew, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP.Sammy Newton, Pegawai Penerangan daerah Ranau, Yaakob Bin Hamud, Pegawai Pejabat Imigresen Ranau, Mohd Noor Bin Abu Bakar, Pegawai Juru Ukur Daerah (Pantas) Ranau, Jaidi Gulis, para Pengetua, Guru-Guru Besar, Pengerusi Pengerusi PIBG serta ratusan guru daerah Ranau.-T A M A T-