ADVERTISEMENTspot_img

10 LEMBU KORBAN UNTUK LIAWAN CERMIN KEPIMPINAN PRIHATIN, PERPADUAN MASYARAKAT

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Rayner James (kanan) mewakili Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Hj Zawawi semasa penyerahan lembu korban kepada wakil masjid di DUN Liawan.

KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Hj Zawawi menyumbangkan 10 ekor lembu bagi ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah, sekali gus membawa kegembiraan kepada masyarakat Islam di kawasan N.41 Liawan.

Sumbangan itu bukan sahaja membantu melancarkan urusan ibadah korban dan pengagihan daging kepada golongan memerlukan, malah mencerminkan semangat kebersamaan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan pedalaman Keningau.

Nik Mohd Nadzri berkata, tahun ini merupakan tahun pertama beliau diberi amanah sebagai wakil rakyat Liawan dan beliau bersyukur kerana berpeluang berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat sempena Aidiladha.

“Bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun 2026, saya amat berbesar hati dapat menyantuni masyarakat Islam di kawasan N.41 Liawan.

“Sebagai tahun pertama saya diberi amanah sebagai wakil rakyat, saya bersyukur kerana dapat menyumbangkan 10 ekor lembu korban untuk diagihkan di kawasan Liawan,” katanya dalam perutusan Aidiladha.

Beliau yang juga Pengerusi MUIS Holdings Sdn Bhd berkata Aidiladha membawa pengertian besar dalam menghayati nilai pengorbanan, keikhlasan serta memperkukuh ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, sumbangan tersebut diharap dapat membantu kariah melaksanakan ibadah korban dengan lebih teratur selain memberi kegembiraan kepada golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan keunikan masyarakat Keningau yang hidup dalam kepelbagaian kaum dan agama terus menjadi kekuatan utama dalam membina perpaduan dan keharmonian.

Katanya, budaya saling menghormati, bekerjasama dan hidup dalam suasana aman perlu terus dipelihara kerana nilai itu menjadi asas kekuatan masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan urusan korban serta pengagihan sumbangan tahun ini.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Liawan, Rayner James mewakili Nik Mohd Nadzri dalam majlis penyerahan lembu korban kepada wakil masjid dan surau di kawasan DUN Liawan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN