ADVERTISEMENTspot_img

FKAL UMS terima pengiktirafan antarabangsa di Persidangan ABEST21 2026

Dr. Ricky Chia Chee Jiun (tiga kanan) dan Dr. Maisyarah (kanan) bersama Professor Emeritus Dr. Fumio (tengah) menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi Antarabangsa ABEST21 di

LABUAN: Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mencipta pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila program Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam menerima pengiktirafan dan akreditasi antarabangsa daripada ABEST21 International sempena Persidangan Antarabangsa ABEST21 2026 yang berlangsung di Kyoto International Conference Center (KICC), Kyoto, Jepun baru baru ini.

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan fakulti terhadap kecemerlangan akademik, jaminan kualiti, pengantarabangsaan, serta pembangunan graduan berdaya saing global dalam bidang kewangan dan kewangan Islam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ABEST21 International merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABEST21 International Annual Conference 2026, Professor Emeritus Dr. Fumio Itoh secara rasmi telah menjemput Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKAL, Dr. Ricky Chia Chee Jiun serta Ketua Program Kewangan Islam, Dr. Maisyarah Stapah @ Salleh untuk menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi Antarabangsa ABEST21 dan Simposium Panel sempena persidangan berkenaan.

Dalam sesi panel simposium itu, Dr. Ricky turut dijemput sebagai salah seorang panelis antarabangsa bersama wakil dari Jepun, Indonesia dan Malaysia bagi membincangkan isu pembangunan pendidikan tinggi dan modal insan di negara-negara Global South.

Dr. Ricky merupakan alumni Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan memiliki Ijazah Sarjana Muda serta Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi Kewangan Antarabangsa daripada Universiti Malaysia Sabah.

Pada tahun 2015, beliau telah dianugerahkan biasiswa berprestij Kerajaan Jepun Monbukagakusho (MEXT Scholarship) yang membolehkan beliau melanjutkan dan menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi di Yokohama National University, Jepun.

Bidang kepakaran beliau meliputi kewangan antarabangsa, ekonomi, ekonomi kewangan dan perbankan.

Dalam pembentangannya yang bertajuk “Nurturing Future-Ready Human Capital in the Global South: Experience from the Labuan Faculty of International Finance, Universiti Malaysia Sabah”, Dr. Ricky berkongsi pengalaman dan inisiatif strategik fakulti dalam melahirkan graduan berdaya saing global yang dilengkapi kemahiran masa hadapan, nilai kelestarian, pendedahan industri dan perspektif antarabangsa.

Pembentangan berkenaan menekankan beberapa aspek penting termasuk pembangunan kurikulum yang relevan dengan industri dan masa hadapan, kerjasama akademia-industri, pendidikan kewangan digital, integrasi ESG, pengantarabangsaan, serta kepentingan melahirkan graduan yang kompeten dari segi akademik, adaptif terhadap teknologi dan bertanggungjawab secara sosial.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuhkan daya tahan pendidikan dan membangunkan graduan yang mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara dan global.

Pengiktirafan dan akreditasi antarabangsa yang diterima oleh program Kewangan Islam ini membuktikan bahawa program tersebut telah berjaya memenuhi standard dan penanda aras antarabangsa dalam pendidikan tinggi.

Pencapaian ini dijangka dapat meningkatkan lagi keterlihatan antarabangsa fakulti, memperkukuhkan keyakinan pihak berkepentingan, meningkatkan enrolmen pelajar serta memperkukuhkan kebolehpasaran graduan pada masa hadapan.

“Pencapaian ini juga sekali gus memperkukuhkan komitmen Universiti Malaysia Sabah dalam memperkasakan kualiti akademik, jaringan global dan pengiktirafan antarabangsa dalam pendidikan tinggi,”katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN