Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Seramai 70 orang murid dari tiga buah sekolah rendah sekitar pekan Ranau, telah menerima sumbangan keperluan sekolah sempena Majlis Penyerahan “Gift Bag” dan Angpau Donglian di Dewan SJK(C) Pai Wen, di sini hari ini.
Tiga buah sekolah rendah terbabit adalah, SJK(C) Pai Wen, seramai 30 orang murid, SK. Pekan Ranau (20 murid), dan SK. St. Benedict (20 murid).

Teruja dan Gembira, itulah yang dapat digambarkan pada wajah murid-murid yang telah terpilih menerima sumbangan berupa beg sekolah dan kelengkapan alat tulis.
Kesemua sumbangan ditaja sepenuhnya syarikat Pelangi Prestasi Sdn.Bhd, dan telah diserahkan sendiri Pengurus Kanan syarikat, Allen Chia.

Turut diserahkan pada majlis itu ialah Angpau Donglian sempena Tahun Baharu Cina kepada seramai 15 orang murid terpilih, kurang berkemampuan. Angpau adalah sumbangan daripada Kwang Kok Yang dan telah disampaikan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) SJK(C) Pai Wen, Alldem Chia.
Sementara itu, Alldem dalam ucapan perasmiannya, mengucapkan terima kasih kepada pihak syarikat dan individu yang telah tampil menyumbang.

Beliau berharap agar sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban ibu bapa dan menyeru agar murid-murid rajin berusaha serta belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

“Objektif program ini adalah untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan. Selain itu, program ini diharapkan dapat memberikan suntikan semangat untuk belajar kepada murid-murid yang terlibat.
“Diharapkan semua murid yang telah menerima sumbangan dapat menyambut Tahun Baharu Cina dan meneruskan persekolahan dengan penuh rasa gembira dan kesyukuran,” katanya.

Turut hadir, Pegawai SIPartners+ Pejabat Pendidikan Ranau yang juga pegawai angkat sekolah,mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Sabin Sinusun, Guru Besar SK. St. Benedict Ranau, Whine Awang, Penolong Kanan HEM SK Pekan, Rosmary Lasiki, ahli-ahli LPS, guru-guru dan ibu bapa murid. –TAMAT–
