Seorang bayi perempuan yang berusia lima hari yang ditemui di dalam sebuah longkang di Mumbai, India berjaya diselamatkan dan kini menerima rawatan di hospital, lapor portal Suara.com.
Doktor di hospital Rajawadi memaklumkan kepada BBC bahawa kesihatan bayi itu kini masih sedang dipantau dan berada dalam keadaan stabil.
Menurut polis, penduduk tempatan telah menemui bayi itu selepas sekumpulan kucing berkumpul dan mula membuat bising di sekeliling bayi berkenaan.
Pihak polis dilaporkan masih lagi giat menyiasat berkenaan bagaimana bayi tersebut boleh berada di longkang terbabit.
Mereka masih belum dapat membuat sebarang spekulasi mengenai motif pelaku, namun berdasar daripada kes-kes sebelum ini, pembuangan bayi perempuan kebiasaannya dilakukan apabila ibu bapa kecewa kerana tidak dikurniakan anak lelaki ketika semasa bersalin. Budaya tersebut dilaporkan masih lagi wujud di India.
Insiden tersebut telah meraih perhatian warganet di media sosial. Gambar yang diambil oleh polis Mumbai ketika di tempat kejadian memaparkan pegawai polis sedang memegang bayi yang baru lahir itu dibalut dengan kain putih.
Insiden serupa yang membabitkan bayi perempuan ini sudah menjadi perkara yang kebiasaan di India.
Dua tahun lalu, seorang bayi yang baru lahir telah ditemui tertimbus hidup-hidup di dalam periuk tanah di bandar Bareilly, di Uttar Pradesh.
Pada musim sejuk 2016, seorang bayi telah ditemui ditinggalkan dalam beg plastik tanpa pakaian di ibu negara India, Delhi.
Dan pada bulan Jun lalu, seorang pengendali bot di Uttar Pradesh telah meraih pujian selepas dia menyelamatkan seorang bayi perempuan yang ditemui terapung di dalam kotak kayu di Sungai Gangga.
Aktivis menyatakan bahawa keutamaan rakyat India untuk mendapatkan anak lelaki telah menyebabkan berjuta-juta janin berjantina perempuan digugurkan sejak beberapa dekad lalu.
Bekas Perdana Menteri Manmohan Singh menyifatkan bahawa keadaan itu sebagai ‘aib negara’ dan menyeru untuk ‘perang suci’ bagi menyelamatkan bayi perempuan.
Tidak lama selepas mengambil alih kuasa pada 2014, Perdana Menteri Narendra Modi merayu kepada rakyat India untuk berhenti membunuh anak perempuan mereka.
Sumber: Suara.com