Jumain (tengah) ketika mempengerusikan mesyarat MTMD Daerah Ranau dekat sini baru-baru ini
RANAU: Majlis Tindakan Mencegah (MTMD) Dadah Daerah Ranau akan diperkasakan untuk mengawal penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani berkata, langkah tersebut perlu diambil memandangkan MTMD mainkan peranan penting dalam usaha menangani isu tersebut di daerah ini.
“Statistik Tangkapan Pesalah Dadah (sumber PDRM dan AADK) di daerah ini berada pada tahap yang membimbangkan kita.
“Apatahlagi kebanyakan yang terlibat adalah di kalangan belia dan beliawanis. Ini termasuklah juga di kalangan para pelajar dan juga penjawat awam,” katanya.
Justeru, melalui MTMD pelbagai aktiviti yang dijalankan secara kolaborasi pintar di antara agensi-agensi yang terlibat akan terus di perkasakan.
Antara agensi utama yang berkenaan ialah PDRM, AADK bersama PEMADAM, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), Komuniti Rukun Tetangga (KRT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), RELA dan lain-lain.
“Selain itu, selaku Pengerusi MTMD Daerah, satu pekeliling kepada semua ketua jabatan daerah ini akan diedarkan dalam masa yang terdekat untuk memaklumkan tindakan yang akan disusuli oleh majlis ini.
“Tujuan tindakan ini adalah untuk memastikan agar kita dapat jadikan semua premis kerajaan bebas dari penyalahgunaan dadah, khususnya di kalangan penjawat awam.
“Satu program test urine akan diadakan sebelum satu-satu pejabat itu diiktiraf sebagai pejabat bebas dadah,” kata Jumain.
Sementara itu, MTMD juga memohon pihak berkaitan agar membekalkan Daerah Ranau test kit untuk kemudahan AADK menjalankan program-program berkenaan.