25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 11, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

MPP UMSKAL anjur Program ‘Ask Me Anything’ bersama Tan Sri Azman Hashim

Gambar–Tan Sri Azman (empat kanan), Profesor Datuk Dr. Kasim (tiga kiri) dan Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari (dua kiri) bersama pegawai UMSKAL yang menghadiri program ‘Ask Me Anything’ bersama Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah, Tan Sri Azman Hashim pada Selasa.

LABUAN: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2025/2026 Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan program ‘Ask Me Anything’ bersama Pro-Canselor Universiti Malaysia Sabah, Tan Sri Azman Hashim pada Selasa.

Program yang diadakan di
Dewan Kuliah Pusat 1, UMSKAL itu turut dihadiri Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor dan Pengarah UMSKAL, Profesor Ts. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin.

Hadir sama Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan wakil Dekan Fakulti Komputeran Dan Informatik (FKI), Prof. Madya Dr. Goh Say Leng, pensyarah, kakitangan dan mahasiswa.

Program itu memberikan peluang eksklusif kepada mahasiswa mengajukan soalan secara terus kepada Tan Sri Azman mengenai kepimpinan, pembangunan akademik, perkembangan ekonomi negara, aspirasi masa depan mahasiswa serta hala tuju universiti.

Dalam pada itu, mahasiswa yang hadir teruja dapat mengajukan soalan dan berinteraksi dengan Tan Sri Azman yang berpengalaman luas dalam bidang perbankan dan ekonomi negara.

Tan Sri Azman yang turut teruja dengan kehadiran mahasiswa, menasihatkan agar memberikan tumpuan terhadap pembelajaran mereka sehingga mampu beroleh kejayaan dengan cemerlang dalam bidang akademik dan kerjaya kelak.

Turut diadakan bacaan lafaz ikrar Rukun Negara yang diketuai Pembantu Keselamatan, Ahmad Shukry A. Razak dan sesi soal jawab serta ramah mesra bersama Tan Sri Azman.

Beliau turut mendengar taklimat daripada Dekan FKAL dan wakil FKI mengenai kejayaan pensyarah dan pelajar fakulti berkenaan.

Tan Sri Azman juga mahu warga UMSKAL terus memberikan sumbangan kepada komuniti setempat mengikut kemahiran pensyarah masing-masing.

Beliau turut meninjau Balai Cerapan Anak Bulan WP Labuan yang juga terletak di Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN