Che Mat (berdiri barisan belakang lima dari kiri) bersama para peserta.
LABUAN: Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Subzon 2 Labuan dengan kerjasama Jabatan Muzium Labuan menganjurkan Program Jejak Sejarah Labuan bagi memberi peluang kepada peserta meneroka lokasi-lokasi bersejarah di sekitar pulau itu.
Pengerusi MPP Sub Zon 2, Che Mat Mustapha berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai sejarah serta warisan Labuan selain memupuk semangat patriotisme dan rasa cinta terhadap negara.
“Menerusi lawatan ke tempat-tempat bersejarah, peserta berpeluang menghayati perjuangan generasi terdahulu serta memahami erti kemerdekaan yang dinikmati hari ini,” katanya yang ditemui media pada program tersebut baru baru baru ini.
Katanya, seramai 45 peserta yang terdiri daripada ahli ahli MPP dan komuniti setempat yang menyertai program itu dibawa melawat ke lima lokasi bersejarah di Labuan antaranya Geopark Tanjung Batu, Taman Ekologi Paya Bakau Kinabenua, Taman Damai dan Terowong Lombong Arang Batu Lubok Temiang.
“Penganjuran program ini juga bukan sahaja dapat menyemai rasa tanggungjawab untuk menghargai, memelihara dan memperkenalkan khazanah sejarah Labuan kepada generasi akan datang, tetapi juga meningkatkan kefahaman mengenai peristiwa dan perjalanan sejarah kemerdekaan,” katanya.



