RANAU : Pejabat Malaysian Palm Oil Board (MPOB) cawangan Ranau akan menganjurkan Program Kursus Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) SPOC S6 Ranau yang akan diadakan di Dewan Kampung Nalapak 5 Mac ini.
Menurut jurucakap kursus, Jeffry Japri (gambar) program ini bertujuan memberi pendedahan dan maklumat yang lebih terperinci berkaitan dengan pensijilan MSPO selain memberi tunjuk ajar dan nasihat berkaitan sawit kepada pekebun kecil tentang amalan pengurusan sawit yang betul dan berkesan.
Katanya, para peserta bagi kursus ini dianggarkan 50 orang. Manakala kategori peserta yang akan menyertai adalah terdiri dari kategori pekebun-pekebun kecil dan juga pekebun-pekebun separuh masa di Kampung Nalapak dan kampung-kampung sekitarnya.
Manakala antara objektif kursus ialah memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pekebun kecil mengenai MSPO, memberi penerangan berkaitan pengurusan kebun yang betul berdasarkan keperluan GAP yang disediakan oleh pihak MPOB.
Kursus itu akan melatih pekebun kecil dalam pelaksanaan keperluan yang terkandung dalam pensijilan MSPO merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, sosial, biodiversiti, persekitaran dan penjagaan hidupan liar yang terlindung serta terancam.
“Berhubung kursus ini pihak penganjur ingin mengingatkan kepada semua peserta yang hadir supaya sentiasa mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) bagi mengawal penularan jangkitan wabak Covid-19.
“Para peserta juga adalah diwajibkan untuk membuat saringan kesihatan atau ‘pre event test’ dua jam sebelum ke tempat kursus,” Katanya.