Abidin memukul gong sebagai tanda perasmian sambutan Tamu Geopark Daerah Ranau 2025
KUNDASANG: Dua Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah bersama dengan dua entiti dari Persekutuan Russia di sin pada hari Sabtu.
MoU ini secara umumnya bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan akademik, pembangunan mampan, serta pengurusan kawasan semula jadi secara lestari yang melibatkan aspek geosains, sumber mineral, perubahan iklim dan pelancongan lestari.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, pemeteraian MoU ini akan menjadi asas kepada pertukaran pengetahuan, pemindahan teknologi, dan pelaksanaan projek-projek kolaboratif antara kedua-dua pihak.
Dalam acara itu, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah diwakili oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Peter Lintar dan Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Maklarin Bin Lakim.
Delegasi dari Russia pula diwakili oleh Executive Director of The Committee of The Republic of Bashkortostan for UNESCO, and Co-Chairholder at The International Research and Educational Center ‘Geoparks and Territories of Sustainable Development’, UFA University of Science and Technology, Dr. Renata Razifovna Lukmanova; dan Chairholder at the same centre, and Doctor Of Geology and Mineralogy at The UFA University of Science and Technlogy, Professor Larisa Nikolaevna Belan.
Turut serta dalam majlis itu adalah tetamu khas, Director Of Bashkiria National Park and The Bashkiria UNESCO Biosphere Reserve, Representing The Ministry of Natural Resources and Ecology of The Russian Federation, Vladimir Kuznetsov.
Abidin menyambut baik MoU yang ditandatangani itu dan berkata, kehadiran delegasi dari Russia di sini benar-benar mengukuhkan jambatan kerjasama Antarabangsa dalam pembangunan mampan dan diplomasi sains.
“Negeri Sabah amat bertuah kerana memiliki kekayaan alam semula jadi, biodiversiti yang luar biasa, dan kepelbagaian budaya yang tiada tandingan. Semua elemen ini menjadikan Sabah bukan sahaja destinasi pelancongan yang unggul, tetapi juga sebagai rujukan dalam pembangunan wilayah secara holistik melalui pendekatan Geopark yang berteraskan pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
“Pendekatan Geopark ini amat bertepatan dengan dasar pembangunan kerajaan negeri yang memberi penekanan kepada pembangunan mampan, pemerkasaan komuniti luar bandar, serta pemuliharaan warisan semula jadi dan budaya.

MoU dimeterai antara Taman-Taman Sabah dan delegasi dari Russia
“Apa yang kita saksikan pada hari ini merupakan manifestasi kejayaan hasil daripada jalinan kerjasama erat dan berterusan antara pelbagai pihak yang merangkumi agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti tempatan, serta rakan strategik dari dalam dan luar negara,” katanya.
Abidin yang juga ADUN Paginatan berkata demikian semasa mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam dalam merasmikan Sambutan Tamu Geopark Daerah Ranau 2025 di sini pada Sabtu.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas penganjuran Sambutan Tamu Geopark Daerah Ranau yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna.
Penganjuran sambutan ini, katanya, bukan sahaja meraikan kepelbagaian warisan komuniti, tetapi turut menampilkan pendekatan bersepadu dalam pembangunan lestari berasaskan geopark.
“Sambutan Tamu Geopark yang diadakan hari ini menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk wakil agensi, rakan kerjasama Geopark serta komuniti dari seluruh Kinabalu UNESCO Global Geopark.
“Penganjuran program ini menonjolkan pelbagai elemen penting seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, produk tempatan dan kraftangan, pakaian tradisional, serta pameran gastronomi yang menampilkan keunikan dan kepelbagaian makanan tradisional dari pelbagai daerah di Sabah.
“Tidak ketinggalan juga, pertandingan memasak masakan tradisional yang menjadi medium untuk memperkenalkan budaya makanan tempatan kepada masyarakat dan pelawat luar,” katanya.
Abidin menambah, pendekatan ini bukan sekadar mempamerkan hasil usaha komuniti, tetapi mencerminkan bagaimana konsep Geopark mampu merangkumi pelbagai sektor seperti pelancongan, ekonomi komuniti, pendidikan, dan pemuliharaan secara serentak.
Sementara itu, katanya, melalui Pelan Strategik Pembangunan Pelancongan Negeri Sabah serta perancangan di bawah Dasar Pelancongan Kebangsaan, inisiatif seperti Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) dapat dijadikan platform penting untuk memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti yang inklusif dan berdaya tahan.
“Malah, usaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dalam menyokong pengiktirafan antarabangsa seperti UNESCO Global Geopark ini, dilihat selari dengan Dasar Pembangunan Geopark Negara yang kini sedang giat dibangunkan oleh kerajaan persekutuan.
“Dasar ini bertujuan menyediakan kerangka pengurusan Geopark yang lebih tersusun, bersifat rentas kementerian, serta menekankan keseimbangan antara pemuliharaan warisan geologi, budaya dan biodiversiti dengan kemajuan sosioekonomi tempatan.
“Kita percaya bahawa kejayaan sesebuah Geopark tidak hanya terletak pada pengiktirafan antarabangsa semata-mata, tetapi sejauh mana penglibatan dan kesedaran masyarakat tempatan terhadap nilai warisan yang mereka miliki,” kata beliau.
Justeru itu, katanya, Tamu Geopark merupakan salah satu pendekatan paling efektif untuk mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai Geopark melalui aktiviti kebudayaan, ekonomi dan pendidikan secara langsung.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai, Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Gabriel Sinit, dan lain-lain.



