31 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

MOU antara STAR, PBS landasan tepat perkuat suara perjuangan: Kong

KOTA KINABALU : Memorandum Persefahaman (MOU) antara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) merupakan landasan tepat bagi kedua-dua parti memperkuatkan suara perjuangan membela nasib rakyat negeri Sabah secara lantang agar terus mendapat perhatian pihak berkenaan.

Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi berkata, kerjasama yang terjalin bukan sahaja memantapkan urusan perjalanan parti bagi menghadapi PRN Sabah Ke-17, malah senada dalam aspek perjuangan membela nasib rakyat selain menyuarakan isu-isu sewajarnya diperingkat akar umbi.

“Ia suatu lembaran baru bagi kedua-dua parti berteraskan suku kaum Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) berjalan seiringan dalam pentas politik negeri Sabah bagi mempastikan suara kedua-dua parti menjadi semak dan imbang untuk menuntut hak-hak sewajarnya yang perlu untuk rakyat dan negeri tercinta kita”. Tegasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kong yang juga merupakan Pengerusi Korporasi Kemajuan Perikanan Dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) berharap, kerjasama STAR dan PBS akan membuka lebih banyak ruang kepada para pemimpin dan ahli untuk membicarakan soal tuntutan hak-hak negeri Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang sehingga kini masih menjadi agenda utama untuk diselesaikan.

Katanya, agenda menuntut hak-hak dalam MA63 tidak pernah terpisah dari perjuangan Presiden STAR sejak sekian lama dan jalinan kerjasama dengan PBS yang juga senada dalam hal itu akan menyemarakkan lagi sinar perjuangan kearah merelisasikan impian memenuhi hasrat seluruh rakyat negeri Sabah.

Dalam masa sama katanya, tiga isu utama yang membelenggu kehidupan rakyat Sabah ketika ini iaitu isu bekalan air, gangguan elektrik dan kerosakan jalan raya perlu diambil kira untuk diangkat secara tegas dalam agenda perjuangan STAR dan PBS.

“Bersuara lantang dalam kerajaan bukan untuk membantah, tetapi lebih kepada menegur untuk kebaikan seluruh rakyat di negeri Sabah yang inginkan penyelesaian tuntas dibuat. Saya yakin, para pemimpin di kedua-dua parti ini memiliki karisma tersendiri untuk hal itu”. Jelasnya.

Pada Khamis, telah berlangsung majlis menandatangani MoU antara Presiden Parti Star dan PBS di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) yang turut disaksikan oleh Huguan Siou atau pemimpin agung Kadazandusun, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga pengasas PBS.

Parti Star dan PBS yang masing-masing mempunyai enam dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga adalah Komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj. Noor.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN