SIAP SEDIA…. Anggota Penguatkuasa MOTAC bersiap sedia untuk melaksanakan pemantauan dan pemutihan di Terminal Lapangan Terbang Labuan.
LABUAN: Selaras dengan pembukaan semula sektor pelancongan dan rentas negeri seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Wilayah Persekutuan Labuan telah menjalankan aktiviti pemantauan dan pemutihan sebagai usaha menghidupkan semangat pengusaha pelancongan.
Aktiviti pemantauan dan pemutihan yang dijalankan selama dua hari itu telah dilakukan oleh pasukan Penguatkuasaan MOTAC yang diketuai oleh Penolong Pengarah MOTAC Labuan, Azmi Ahmad Ross.
Turut terlibat dalam aktiviti itu ialah pegawai dari ibu pejabat MOTAC yang dipimpin oleh Penolong Setiausaha Kanan, Yong Yit Hong.
Azmi ketika dihubungi berkata, aktiviti pemantauan dan pemutihan tersebut melibatkan kawasan di Terminal Feri Kenderaan, Terminal Lapangan Terbang Labuan, Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan, Marina Awam dan juga Pulau Rusukan Besar.
PENGUATKUASA MOTAC ketika membuat pemantauan di Pulau Rusukan Besar.
“Aktiviti pemantauan dan pemutihan ini juga bertujuan untuk memastikan pematuhan SOP dilaksanakan oleh pelancong seperti Tour Operating Business dan Travel Agency Business (TOBTAB) serta Bas Persiaran dan Kereta Sewa Pandu (BPKSP)
“Selain itu aktiviti ini juga turut menyantuni mereka mengetahui perkembangan perniagaan terkini dalam norma baharu” katanya.
Menurut Azmi, ketika ini hanya terdapat 13 syarikat perusahaan pelancongan (TOBTAB) dan 5 syarikat BPKSP yang masih aktif di Labuan. Manakala 7 syarikat TOBTAB yang tidak aktif telah dibuat semakan semula dan akan dikeluarkan dari data lesen MOTAC sekiranya pengusaha tidak lagi berminat untuk memperbaharui lesen.
Beliau juga turut menjelaskan kepada penggiat industri bukan kewangan MOTAC khususnya pemandu pelancong berlesen, mengenai pengecualian bayaran fi lesen, pengurangan pembayaran kompaun sebanyak 40%, pelanjutan tempoh bayaran kompaun, pengecualian kompaun kepada mereka yang gagal memperbaharui lesen yang mana semua inisiatif ini dilanjutkan sehingga 31Disember 2021.
“ Ia memberikan mesej bahawa MOTAC prihatin kepada pengiat industri yang akan bersama-sama dalam memulihkan kembali sektor pelancongan negara. Diharapkan inisiatif ini dapat mengembalikan semangat penggiat industri dan membina kembali kekuatan ekonomi negara.
Sementara itu katanya, hasil daripada pemantauan dan pemutihan yang dijalankan didapati terdapat individu yang tidak berlesen membawa pelancong ke Pulau Rusukan Besar dan MOTAC telah menasihati mereka untuk memohon lesen (MOTAC) bagi mengelakan mereka diambil tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Azmi berkata, walaupun keseronokan melancong mula dirasai, adalah menjadi tanggungjawab Keluarga Malaysia untuk menjaga keluarga masing-masing, digalakkan untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan dan mematuhi SOP yang berkuatkuasa agar dapat memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan masyarakat.
Tambah beliau lagi, MOTAC juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta badan berkuasa yang lain dalam mengawal keselamatan, pematuhan SOP, melindungi hak Keluarga Malaysia dengan pakej pelancongan yang telus, serta membanteras individu/ ulat pakej/ freelance/ agensi pelancongan tidak berlesen dengan MOTAC selaras dengan Akta 482 dan Akta 594 serta peraturan-peraturan yang berkaitan.