TAHNIAH….. pemenang anugerah kategori individu dari kanan ke kiri Izuandi, Mohhamadthir, Noor Azila dan Nurul Syakinah bersama hadiah yang dimenangi.
Labuan: Mohammadthir Malik dari Persatuan Belia Beliawanis Bukit Kuda (PBBBK) dan Noor Azila Saftu dari Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) masing masing dinobat sebagai johan Anugerah Perdana Belia Negara kategori Individu lelaki dan Wanita 2020 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM3,000 bersama tropi dan sijil. Manakala naib johan bagi kategori lelaki dan Wanita masing-masing dimenangi oleh Mohd Izuandi Jaludin dari Persatuan Belia dan Beliawanis Kampung Pohon Batu (GAPOBA) dan Nurul Syakinah Sairan dari Kelab Belia Patau-Patau 2 (KBPP2) membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil.
Bagi kategori Pertubuhan Belia johan dimenangi oleh Kelab Belia Anak Layangan (KEBAL) untuk menerima hadiah wang tunai RM10,000, tropi dan sijil, Naib johan dimenangi oleh Pertubuhan Belia dan Beliawanis Kampung Sungai Lada (BELADA) menerima hadiah wang tunai RM5,000 beserta sijil.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Santhara Kumar Ramanaidu sempena Majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di salah sebuah hotel di sini, pada Khamis.
ANUGERAH… Pemenang Anugerah Belia Negara kategori individu dan pertubuhan bergambar kenangan bersama Dt. Santhara (tengah), Mahanum (dua kanan) dan Mohd Rezuan.
Majlis Sambutan Hari Belia dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan belia yang menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Program tersebut juga merupakan antara inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri dalam memperkasakan pembangunan belia negara disamping memberi pengiktirafan kepada belia di peringkat akar umbi.
Hadir sama memeriahkan majlis itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, Mahanum Fauzi dan Presiden Majlis Belia Labuan, Mohd Rezuan Md. Nawawi.
Program yang tertangguh sejak Mei 2020 akibat pelaksanaan Perintah Kewalan Pergerakan (PKP) Pendamik COVID 19 turut dihadiri kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin belia, persatuan dan kelab belia setempat serta beberapa jabatan kerajaan yang berperanan secara ridak langsung dalam pembangunan belia negara khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan.