ADVERTISEMENTspot_img

MISUR 3.0 Eratkan Silaturahim, Santuni Golongan Memerlukan di Kepayan

Nizam menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

KOTA KINABALU: Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan (MISUR) 3.0 yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan berjaya menghimpunkan masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat serta pengamal media dalam usaha menyemarakkan semangat kebajikan dan perpaduan sempena bulan Ramadan.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah selaku penganjur utama program berkenaan.

Menurut beliau, penganjuran program seperti ini mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan sosial yang tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.

“Program seperti MISUR bukan sahaja memberi bantuan kepada golongan asnaf, anak-anak yatim serta ibu tunggal, malah turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat, NGO dan sektor korporat,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah yang ditubuhkan pada tahun 2024 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah menunjukkan komitmen dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan.

Majlis MISUR 3.0 merupakan penganjuran kali ketiga hasil kerjasama strategik antara pelbagai pihak termasuk jawatankuasa masjid, NGO berdaftar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Datuk Nizam berkata, usaha murni tersebut amat signifikan khususnya di kawasan Kepayan yang mempunyai masyarakat majmuk dengan umat Islam sebagai golongan minoriti, sekali gus menjadikan program seperti ini penting dalam memupuk perpaduan serta memperkukuhkan hubungan masyarakat setempat.

Dalam masa sama, beliau turut menghargai kehadiran para pengamal media yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat serta membantu meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai isu pembangunan dan kebajikan di negeri Sabah.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap penglibatan aktif NGO dalam melaksanakan program berteraskan kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan yang mampu membantu memperkukuh kesejahteraan rakyat.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni, bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi juga sepanjang tahun,” katanya semasa berucapa Majlis Iftar dan Penyampaian sumbangan ramadan kepada 66 oranf golongan asnaf di Wisma Kinsabina, Penampang semalam.

Hadir sama Ketua Bahagian PGRS Kepayan Datuk Dr Stephen Jacob Jimbangan, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah, Emmie Datuk Martin Indang serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat bahagian Kepayan.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Dr. Haji Abdul Rashid Hassan yang juga Kegua Penerangan Gagasan Rajyat Kepayan berkata majlis berkenaan bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan memerlukan, malah turut menjadi platform menghargai peranan penting media dalam masyarakat.

Menurut beliau, majlis yang dianjurkan membawa tema “Media Tanpa Sempadan; Media dan Fakta Berpisah Tiada”, yang menekankan kepentingan media sebagai penyampai maklumat yang tepat, adil dan beretika dalam era digital masa kini.

“Dalam dunia yang sarat dengan pelbagai sumber maklumat, media memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan fakta dan kebenaran. Justeru, tanggungjawab melaporkan berita secara telus dan berintegriti merupakan amanah yang besar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media yang sentiasa komited dalam menjalankan tugas mereka, sekali gus membantu membentuk masyarakat yang berpengetahuan, berfikiran kritis serta bersatu padu.

Dr. Abdul Rashid berkata, penganjuran majlis tersebut juga bertepatan dengan semangat Ramadan yang mengajar nilai kesyukuran, keprihatinan dan budaya berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Menurutnya, melalui program itu, bantuan disalurkan kepada golongan asnaf, anak-anak yatim, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta keluarga kurang berkemampuan sebagai usaha meringankan beban mereka sepanjang bulan yang penuh rahmat ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penaja, penyumbang, sukarelawan serta rakan media yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan majlis tersebut.

Majlis MISUR 3.0 turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada 66 orang golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal di sekitar kawasan Kepayan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan kebajikan masyarakat.

Datuk Nizam seterusnya secara rasmi merasmikan Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan 3.0 (MISUR) 2026, sambil berharap program seumpama itu terus menjadi platform memperkukuh nilai kebersamaan, perpaduan serta keprihatinan dalam kalangan masyarakat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN