27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

MENYELAMI TAHAP HUBUNGAN ANTARA ANAK DAN IBU BAPA

Para peserta menyelami ‘tahap hubungan anak dan ibu bapa’ yang disampaikan oleh penceramah

PERKEMBANGAN media sosial dan teknologi hari ini mempengaruhi sebahagian besar kemenjadian diri golongan kanak-kanak dan remaja. Anak-anak masa kini lebih gemar menghabiskan masa mengakses internet, bermain permainan video dan telefon pintar berbanding berinteraksi dengan keluarga terutamanya ibu dan bapa. Hal ini menyebabkan kualiti hubungan  anak-anak dan ibu bapa menjadi semakin merosot.

Isu ini diakui oleh banyak kajian. Kebanyakan kajian bersetuju bahawa penggunaan teknologi secara berlebihan akan menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi kurang berkesan sehingga wujudnya jurang interaksi dalam keluarga dan hal ini akhirnya membantut perkembangan sosial dalam institusi keluarga itu sendiri.

Ketika menyampaikan ceramah keluarga kepada para peserta perkemahan di Dewan Komuniti Kampung Pahu, Kiulu, baru-baru ini, Pengarah Pelayanan Kanak-kanak Seventh-day Adventist Mission of Sabah, Rozelene Gulon, berkata terdapat lima tahap interaksi yang memperlihatkan bentuk-bentuk hubungan dalam sebuah keluarga.

Tahap-tahap interaksi anak-anak tersebut terhadap ibu bapa ialah perbualan sekali sekala atau ‘kurang bercakap,’ berkongsi maklumat, cukup percaya untuk mendapatkan persetujuan, berkongsi isu peribadi, berbincang dan menyumbang, komunikasi tetap dua hala dan berterusan dan memulakan komunikasi sendiri kepada ibu bapa.

Pengerusi Perkemahan, Micklayton menyampaikan cenderahti kepada penceramah

Di antara ke lima-lima interaksi tersebut, status hubungan pertama adalah tahap yang paling rendah atau anak-anak mengalami kemerosotan interaksi ketara. Tahap ini perlu diberikan perhatian dan tindakan ibu bapa untuk menarik dan membiasakan anak-anak berinteraksi dalam keluarga dan orang luar. Interaksi yang dimaksudkan ialah respon dalam perbualan dan arahan yang memerlukan tindakan. Ada dua kemungkinan, sama ada disebabkan kesibukan melayan telefon pintar ataupun kurang pergaulan luar.

Semua ibu bapa menghendaki tahap yang kelima iaitu anak-anak akan memulakan komunikasi terlebih dahulu kepada ibu bapa. Tahap ini memperlihatkan kematangan yang ada pada diri anak-anak itu dan menunjukkan keberkesanan kaedah yang diamalkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka.

Menurut Rozelene, banyak faedah kepada anak-anak apabila wujud hubungan interaksi yang baik dalam keluarga. Antaranya memberi rasa identiti diri kepada anak-anak iaitu menghargai diri sendiri, lebih mudah menghargai dan menyayangi orang lain dan disayangi, menyediakan keperluan diri, menyediakan sumber-sumber bantuan berbentuk benda atau makanan kepada sesiapa yang sangat memerlukan pertolongan dan sebagainya.

Keluarga yang mesra dan harmoni akan melahirkan personaliti yang positif, ceria dan sihat. Manakala keluarga yang kucar-kacir, kerap bergaduh dan berpecah belah menyebabkan suasana menjadi dingin dan kaku. Jika keadaan begini wujud dalam keluarga, ia mempengaruhi perkembangan jiwa anak-anak.

Menurut kajian kata Rozelene, apabila seseorang anak mempunyai pertalian hubungan yang baik dengan ibu bapanya, anak itu berasa lebih terjamin, sihat, selamat dan gembira. Ini menghasilkan jati diri lebih tinggi dan kesihatan mental positif secara umumnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN