“Antara kementerian yang releven untuk menambah jadual lawatan ke kawasan pendalaman termasuklah yang berkaitan dengan pembangunan jalan raya, air, elektrik, sistem komunikasi, pendidikan, perubatan dan keselamatan” -Kong
KOTA KINABALU: Pergerakan Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (Star Sabah) mencadangkan agar Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan menambah program menyelami denyut nadi rakyat pedalaman dalam takwim bulanan mereka agar dapat melihat sendiri tahap pembangunan di satu-satu lokasi terpilih.
Ketua Wiramuda parti itu, Kong Soon Choi berkata, jika sebelum ini kawasan pekan dan bandar dipilih untuk acara rasmi, mungkin ia boleh diubahsuai dengan menjadikan kawasan luar bandar atau perkampungan sebagai lokasi utama untuk mereka melihat lebih jelas kedudukan pembangunan di satu-satu kawasan terlibat.
“Selain para Menteri atau Timbalan Menteri dapat melihat sendiri permasalahan yang berlaku, ia juga membolehkan penduduk satu-satu kawasan kampung atau mukim itu hadir beramai-ramai dan menyuarakan masalah yang dihadapi secara bersemuka”. Jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, antara kementerian yang releven untuk menambah jadual lawatan ke kawasan pendalaman termasuklah yang berkaitan dengan pembangunan jalan raya, air, elektrik, sistem komunikasi, pendidikan, perubatan dan keselamatan.
Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut mengulas mengenai keputusan kerajaan pusat yang tidak menaikkan tarif elektrik dimana beliau menyifatkan suatu pendekatan prihatin rakyat khasnya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana termasuk pemain Industri Kecil Dan Sederhana (IKS).
Jelasnya, keputusan itu juga mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang sebelum ini terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barangan lain khasnya bahan makanan harian.
Pada Selasa, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media mengumumkan kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan tarif elektrik kepada pengguna domestik bagi mengelakkan rakyat terbeban.
Beliau berkata keputusan itu turut melibatkan industri kecil dan sederhana (IKS), syarikat pertanian serta pengeluar makanan walaupun ia memberi implikasi kewangan kepada negara hampir RM30 bilion setahun.