26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

MENJIWAI SEMANGAT PATRIOTISME

Oleh: Dr. Jurry Foo
Pensyarah kanan, Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah. Rakan strategik Kolumnis BDB

Siapakah lagi yang patut cintakan negara jika bukan kita rakyatnya? PATRIOTISME berdiri sebagai ‘semangat cintakan negara’. Saat kita mengucapkan ‘Saya sayang Malaysia’, ‘Saya cintakan Malaysia’ dan ‘Saya sayangkan negara saya’, adakah kita benar-benar memaksudkannya?. Tepuk dada tanya selera.

Apa perasaan kita saat melafazkan lima prinsip Rukun Negara yang berikut?:

  1. Kepercayaan Kepada Tuhan
  2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  3. Keluhuran Perlembagaan
  4. Kedaulatan Undang-Undang
  5. Kesopanan dan Kesusilaan

Rasa bangga menjadi warganegara Malaysia adalah titik mula kepada rasa kasih sayang dan cintakan negara dan ia wajar disemat dalam jiwa setiap anak kelahiran Malaysia. Bagaimana kita dapat mencintai negara ini? Cukup dimulai dengan menjadi rakyat yang bertanggungjawab iaitu menjalankan kehidupan sebagai seorang rakyat yang melakukan kebaikan untuk diri sendiri tanpa memudaratkan orang lain. Ini boleh dilakukan oleh setiap rakyat tidak mengira agama, kaum, umur dan di manapun kita berada.

Pada era digital ini semangat cintakan negara boleh dizahirkan dengan menjaga tutur kata dalam talian, tidak menyebarkan maklumat palsu atau belum pasti kesasihannya serta sentiasa menghormati hak bersuara di media sosial, di samping mengelak daripada provokasi serta buli siber.

Bagi ahli akademik dan penyelidik, menjiwai patriotisme penting sebagai dorongan dalam mendidik dan membimbing mahasiswa menjadi warganegara produktif dan menghasilkan penyelidikan yang boleh menyumbang kepada pembangunan bangsa.

Semasa menghadapi pandemik COVID-19 ini jika kita benar-benar cintakan negara ini, tindakan yang boleh diambil ialah jaga diri dengan mematuhi SOP yang ditetapkan untuk sama-sama membantutkan penularan COVID-19.

Merujuk kepada Indeks Patriotisme (Kementerian Pengajian Tinggi, 2016), patriotisme merangkumi semangat cintakan negara, mempertahankan kedaulatan negara, bangga sebagai warganegara, menghormati simbol negara dan menyumbang kepada negara. Teori Patriotisme pula dibentuk berdasarkan prinsip rukun negara di mana doktrinnya yang dibentuk oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) diistiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada ulang tahun kemerdekaan ke-13. Tapi apakah Rukun Negara? Rukun Negara adalah:

  • Susunan cara atau prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara.
  • Cuba mewujudkan suasana perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran malaysia.
  • Menjadi ideologi kebangsaan Malaysia yang diikrarkan setiap warganegara

Oleh itu, mari kita sama-sama memikirkan semula,  adakah kita benar-benar menyayangi dan mencintai negara kita Malaysia? Jika masih ragu, mulakan dengan tindakan ke arah kebaikan. InsyaAllah semua akan terealisasi dari langkah pertama. Salam Merdeka.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN