SEMPORNA : YBhg Mej Jen Ahmad Suhaimi Mat Wajab, Panglima 21 Gerup Gerak Khas Malaysia, telah melaksanakan lawatan ke kawasan tanggungjawab (KTJ) sekitar Sabah, khususnya di Semporna. Lawatan ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan semangat kesatuan dalam kalangan anggota Gerak Khas (GGK), tetapi juga sebagai penghargaan kepada Mantan Komando yang telah berjuang demi tanah air.
Dalam satu sesi pertemuan dengan para mantan komando di Semporna, YBhg Mej Jen Ahmad Suhaimi menyatakan bahawa kem Komando sentiasa terbuka kepada mereka. “Sekiranya anda datang ke Kem Komando, anda amat dialu-alukan kerana itu adalah rumah kita. Kita ingin menghargai sumbangan besar yang telah diberikan oleh mantan komando yang pernah berjuang bersama kami. Kehadiran anda adalah satu motivasi yang amat bermakna kepada generasi komando yang baru,” katanya.
Beliau juga berharap agar lebih ramai mantan komando dapat menyertai sambutan Hari Ulang Tahun Gerakhas Fasa ke-2 pada tahun 2025 yang akan diadakan setiap bulan Disember. “Kami mengadakan malam bersama mantan komando setiap tahun, dan saya amat mengharapkan kehadiran anda semua pada malam yang penuh makna ini. Kehadiran anda bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama kita, tetapi juga menjadi sumber inspirasi kepada generasi baru yang bakal meneruskan legasi kecekapan dan keazaman Gerak Khas,” tambahnya.
Lawatan ini menjadi satu platform penting untuk mempereratkan hubungan antara mantan dan generasi baru GGK, sekaligus memperkukuhkan semangat berpasukan dan rasa cinta kepada negara. Kehadiran YBhg Mej Jen Ahmad Suhaimi di Semporna telah memberikan impak yang positif, bukan sahaja kepada anggota yang bertugas tetapi juga kepada para mantan yang begitu menghargai pengiktirafan dan sokongan yang diberikan.
Gerak Khas terus berkembang dengan komitmen dan kesetiaan yang tinggi, dan usaha untuk menghubungkan generasi terdahulu dengan yang baru pastinya akan memastikan legasi kebanggaan ini terus utuh untuk masa depan negara.