33 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

MENGENALI BUDAYA MASYARAKAT CINA MELALUI SAMBUTAN TAHUN BARU

Kong Soon Choi bersama keluarga selepas upacara 开光

MUNGKIN masih ramai yang tidak tahu bahawa Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalender qamari Cina.

Kalendar qamari Cina merujuk kepada kitaran 12 tahun masing-masing dinamakan sempena nama haiwan iaitu Tahun Harimau (2022), Arnab (2023), Naga (2024), Ular (2025), Kuda (2026), Kambing (2027), Monyet (2028), Ayam Jantan (2029), Anjing (2030), Babi (2031), Tikus (2032) dan Lembu (2033).

Menurut Kong Soon Choi ( pemilik Kedai Sabindo ), Tahun Baru Cina bagi mereka melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan berkumpul. Rumah akan dibersihkan dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru.

Aktiviti membakar mercun dibuka pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan pokok limau, bunga dan buah limau sebagai simbol murah rezeki.

Pada kebiasaanya, Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan ‘yee sang’ dan kuih bakul. Keluarga akan makan besar dengan memakan makanan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut dan limau mandarin.

Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima ‘angpau’ dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin.

Perarakan tarian naga atau singa pula biasanya adalah suasana yang sangat dinanti-nanti bukan sahaja oleh mereka malah masyarakat lain.

Berdasarkan kepercayaan kaum Cina katanya, tarian singa bukan hanya sekadar untuk menghibur, sebaliknya dipercayai mampu membawa tuah pada masa akan datang. Ini kerana, sudah menjadi kepercayaan masyarakat kaum Cina bahawa dengan mengadakan tarian singa ia dipercayai mampu membawa tuah dan rezeki kepada mereka selain ia merupakan tarian tradisional masyarakat mereka.

Justeru, melalui kepercayaan tersebut tarian singa bukan sahaja dipersembahkan ketika Tahun Baru Cina dan Cap Goh Mei malah turut diadakan bagi meraikan majlis perkahwinan, ulang tahun kelahiran, pembukaan perniagaan dan banyak lagi.

Kong Soon Choi, yang juga Ketua Exco  Wiramuda STAR merangkap Ketua Wiramuda N38 Paginatan menerangkan, selepas lima belas hari merayakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ia akan diakhiri pula dengan sambutan perayaan Cap Goh Mei.

Sebagai tanda berakhirnya perayaan 15 hari itu, ahli keluarga akan berkumpul bersama untuk makan malam, membunyikan mercun dan bermain mahjung selain upacara sembahan dilakukan dalam kadar yang lebih besar.

Hari yang meriah itu biasanya dikenali sebagai festival tanglung atau dalam dialek Hokkien disebut, Chap Goh Meh yang jika diterjemahkan bermakna ‘malam ke-15 Tahun Baru Cina’.

Choi yang lebih dikenali panggilan Ah Choi, bersyukur kerana masyarakat kini lebih memahami dan menghormati serta hidup rukun dalam mengamalkan budaya dan kerpercayaan masing-masing.

Katanya ‘pada hari ini saya bersama-sama keluarga menyantuni Persatuan Tarian Singa dan Naga Kinabalu Ranau. Dalam masa yang sama kami telah menyempurnakan gimik penyerahan sumbangan dan Majlis 开光 yang bermaksud Upacara Penyucian atau pun Upacara Permulaan yang baharu bagi Kepala Singa dan gendang untuk persatuan’.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN