30 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Menelusuri Sungai Sugut dalam usaha mempromosi eko pelancongan

Sebahagian belia KAMPAR mengadakan penjelajahan menyusuri sungai Sugut.

0leh: Salwah Aramat

RANAU: Kelab Belia Kg. Meridi dan Kelab Anak Muda Pekan Ranau (KAMPAR) buat julungkalinya telah menelusuri sungai Sugut bermula dari Kg. Meridi sehingga ke Kg. Lingkabau.

Menurut Pengerusi Kelab Belia Kg. Meridi Ranau, Fadzwan Bin Ali ketika dihubungi memberitahu, matlamat program tersebut adalah untuk mempromosikan eko pelancongan di kampung berkenaan selain mengeratkan hubungan silaturahim dikalangan para belia Meridi dan belia KAMPAR, sekaligus berkongsi ilmu dan pengetahuan semasa.

“Sungai Sugut ini, merentasi daerah Ranau dan Beluran yang berakhir di Muara Terusan. Jika ingin menikmati pengalaman yang baharu, jauh dari kesibukan kota, berdamai dengan keindahan alam semulajadi bersama keluarga serta rakan-rakan adalah pilihan terbaik.

“Di sini, kita boleh menikmati kelazatan ikan segar air tawar sungai Sugut seperti ikan Patin, Lampam Jawa, Udang tanpa ragu-ragu dan sudah pastilah selera makan di tepi sungai sangat berbeza berbanding makan di rumah atau di restoran, ‘Datang Sekali, Pasti Datang Lagi'”, jelas Fadzwan.

Lokasi perkhemahan di tepi sungai Sugut Kg. Meridi Ranau.

Sementara itu, Pengerusi Kelab KAMPAR, Mohd Fixli Jamrin melahirkan rasa keterujaannya kerana sepanjang penjelejahan mereka, banyak aktiviti yang boleh dilakukan seperti berkhemah, memancing, menjala dan sebagainya.

“Sepanjang penjelajahan, kami berpeluang melihat depan mata pelbagai spesis burung, beberapa ekor Monyet yang jarang kelihatan dan apa yang paling mencabar adalah aktiviti yang mampu meningkatkan hormon Adrenalin apabila merempuh arus sungai yang deras”, jelas Fixli sambil merakam ucapan terima kasih kepada Fadzwan kerana memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk mengadakan aktiviti seperti yang dirancang.

Fadzwan merakam penghargaan dan ucapan syabas kepada semua Jawatankuasa yang terlibat menjayakan program tersebut dan terima kasih juga kepada rakan-rakan belia KAMPAR kerana banyak berkongsi idea, cadangan dan penambah-baikan aktiviti sepanjang jelajah itu.

Pihak Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat, juga mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan kedua kelab belia hebat Ranau, melaksanakan program itu dan mengharapkan semoga lebih banyak agensi kerajaan negeri dan persekutuan akan melawat ke Meridi sebagai Eko Pelancongan Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN