Ghani (keempat dari kanan) menyerahkan plak perasmian tagal Pengerusi Tagal Kampung Sikait Jhonny Lambung (kedua dari kanna) dan Harun (keempat dari kiri) menyerahkan plak perasmian tagal kepada Pengerusi Tagal Kampung Sumolombom Mali Lunsu (kedua dari kiri).
NABAWAN: Memulihara sungai serta hidupan akuatik terutama ikan air tawar sudah sebati dalam kehidupan rakyat Sabah dan ini dilaksanakan melalui sistem tagal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abduk Ghani Mohamed Yassin berkata, ia telah diamalkan sejak dahulu lagi.
Katanya, kejayaan sistem ini bukan sahaja mampu memulihara alam sekitar tetapi juga memberikan bekalan sumber mampan buat penduduk setempat.
“Melalui sistem tagal, penduduk mengawal aktiviti menangkap ikan di sungai mengikut tiga zon iaitu zon merah larangan menangkap ikan, zon hijau bebas menangkap ikan sementara zon kuning, tangkapan ikan sekali dalam tempoh tertentu, bagi memastikan ikan tidak pupus serta terus memberikan bekalan makanan” katanya semasa berucap merasmikan Tagal Tradisi Kampung Sikait dan Kampung Sumolombon Daerah Kecil Pagalungan pada Khamis.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata Jabatan Perikanan Negeri Sabah memperluaskan sistem tagal di seluruh Negeri Di Bawah Bayu ini sejak puluhan tahun yang lalu, melibatkan penyertaan sepenuhnya masyarakat setempat dengan pemantauan jabatan berkenaan.
“Bagaimanapun, memanglah bukan mudah untuk memastikan keberkesanan sistem ini, dan ia memerlukan kerjasama erat dan ketegasan dalam memastikan sungai itu dapat dijaga selain memberikan hasil memuaskan kepada ahli tagal terdiri daripada penduduk kampung” katanya.
Justeru itu Ghani menyarankan apabila komuniti melaksanakan program tagal tradisi adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk bertanggungjawab
menjaga dan menjayakan program ini.
“Jangan ada yang melanggar peraturan atau tidak sabar untuk menuai hasil
kerana sikap sebegini akan membuatkan keberjayaan hasil yang maksima tidak dapat dicapai, jadi kita perlu bersatu dan elakkan sikap sedemikian terjadi dalam komuniti kita” tegasnya.
Beliau berkata, program-program komuniti kampung sebegini amatlah dialu-alukan, lebih-lebih lagi ianya memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Selain itu katanya, budaya masyarakat yang diwarisi sejak nenek moyang perlu dikekalkan sesuai dengan cara hidup yang sudah sekian lama kita amalkan, generasi terdahulu juga mengamalkan penternakan ikan air tawar atau tagal yang mana memberi kesan baik kepada komuniti setempat untuk meningkatkan pendapatan atau hasil dalam menampung keperluan hidup.
Katanya, Kerajaan Negeri Sabah memberi komitmen yang terbaik untuk memastikan aspek perikanan di negeri ini terus berkembang maju untuk menampung keperluan hasil perikanan di negeri ini termasuk ikan air tawar.
“Oleh yang demikian, kita mengalu-alukan komuniti kampung-kampung
yang tinggal berhampiran dengan sungai untuk bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan bagi mewujudkan kawasan
Tagal dan memastikan keberjayaan program tersebut dapat memberi manfaat kepada komuniti kampung dan masyarakat setempat” jelasnya.
Ghani berkata, program tagal juga dapat memulihara sungai-sungai daripada tercemar.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Hasinin Kinsim, Pegawai Perikanan Wilayah Keningau Harun Duin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai, Pegawai-Pegawai dan kakitangan Jabatan Perikanan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.



